Bantuan bakul makanan kepada keluarga perlu

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik tindakan kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan Pusat-pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sebagai lokasi pengumpulan bantuan  setempat.

 

Menurut beliau, pendekatan tersebut adalah bagi memastikan penyampaian bantuan seperti bakul makanan adalah lebih akauntabel dan sampai kepada golongan sasar.

 

“Lanjutan daripada ‘kempen’ bendera putih, banyak NGO telah tampil untuk turut serta dengan memilih platform pusat-pusat khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) atau Parlimen sebagai pusat pengumpulan sumbangan untuk diserahkan kepada keluarga terkesan.


“Kita (Kerajaan Negeri) akan rujuk kepada senarai bawah program Agenda Ekonomi Saksama (AES) negeri ataupun (senarai) daripada pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

“Walau bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) masih terbuka kepada pihak atau keluarga-keluarga yang memerlukan untuk tampil ke hadapan, dan sekiranya senarai itu dapat disemak, maka kita akan memberikan sumbangan berkaitan,” ujarnya sejurus menyampaikan sumbangan bakul makanan Unit Penyaras dan Pelaksanaan (ICU) Peringkat KADUN Padang Kota dan Parlimen Tanjong kepada keluarga terjejas sekitar Jalan Kedah di sini tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng.

 

Tambah Kon Yeow, kini, pusat khidmatnya giat mengagihkan bantuan bakul makanan berjumlah RM300,000 yang diperuntukkan ICU kepada setiap Ahli Parlimen seluruh negara.


“Melalui peruntukan tersebut, setiap bakul makanan adalah disyaratkan bernilai RM100 setiap satu.


“Bagi edaran ini, kita gunakan platform seperti badan pengurusan, persatuan-persatuan penduduk, surau-surau kawasan serta pertubuhan-pertubuhan setempat untuk mendekati keluarga yang memerlukan.


“Justeru, kita harap sumbangan bakul makanan ini dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin,” katanya yang juga ADUN Padang Kota.


Difahamkan, sebanyak 329 bakul makanan disumbangkan kepada keluarga terkesan bersempena pengagihan berkaitan tadi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI