Bantuan bakul makanan Parlimen Tanjong mula diedar Jumaat ini – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Bantuan bakul makanan bagi Parlimen Tanjong berjumlah RM300,000 seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan mula diedarkan mulai Jumaat ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Chon Yeow yang juga Ahli Parlimen bagi kawasan berkaitan memaklumkan perkara itu pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan program Penang Saring COVID-19 dekat Stadium Bandaraya, di sini sebentar tadi.

“Kita (Pejabat Ahli Parlimen Tanjong) sudah berhubung dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan garis panduan yang perlu dipatuhi dalam menyalurkan bantuan ini.

“Oleh itu, kita akan putuskan pembekal yang akan membekalkan barangan seperti ditetapkan dalam garis panduan tersebut dan pengedaran bantuan bagi Parlimen Tanjong dijangka pada Jumaat (11 Julai 2021).

“Lokasi-lokasi yang akan kita tentukan adalah yang mana penduduknya kebanyakan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Selain itu, beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memaklumkan bahawa penduduk di kawasan Parlimen Tanjong boleh juga ke Pusat Khidmat untuk membuat pendaftaran.

“Kemudian, kita akan teliti senarai yang ada sebelum bakul makanan diedarkan kepada individu yang layak kerana kita sememangnya mahu mempercepatkan bantuan ini,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah selesai mengagihkan bantuan makanan bernilai RM500,000 melalui peruntukan negeri.

“Bantuan bekalan makanan di peringkat negeri tidak terputus, malah kita masih ada lebihan bantuan bekalan makanan yang mampu bertahan untuk beberapa hari lagi.

“Oleh itu, kita akan terus mengedarkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan sejumlah RM300,000 diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

Video ; CHAN KOK KUAN