Bantuan ceriakan Aidilfitri keluarga Che Doh

Admin
Abdul Malik Abul Kassim (kanan sekali) menyampaikan sumbangan kepada Noorsamila Ratna Mohd. Noor (duduk) sambil diperhatikan Nor Azlina Mat Kharsa (berdiri, tengah) sempena lawatan ke kediaman keluarga tersebut di Kampung Bukit, Bayan Lepas baru-baru ini.
Abdul Malik Abul Kassim (kanan sekali) menyampaikan sumbangan kepada Noorsamila Ratna Mohd. Noor (duduk) sambil diperhatikan Nor Azlina Mat Kharsa (berdiri, tengah) sempena lawatan ke kediaman keluarga tersebut di Kampung Bukit, Bayan Lepas baru-baru ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN LEPASBagi meringankan beban dan memeriahkan sambutan Aidilfitri sebuah keluarga kurang bernasib baik, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan beberapa agensi tampil menghulurkan bantuan di Kampung Bukit, Bayan Lepas baru-baru ini di sini.

Exco terbabit, Datuk Abdul Malik Abul Kassim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata, bantuan yang dihulurkan adalah bagi meringankan beban keluarga, Che Doh Karia menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Keluarga ini sangat-sangat memerlukan bantuan. Walaupun sumbangan yang diberikan tidaklah seberapa hanya sekadar sedikit keperluan dapur dan barangan makanan, tetapi ternyata anak-anak kecil (cucu Che Doh) ini sangat gembira.

“Diharap kunjungan kedua dan bantuan ini dapat menampung keperluan mereka sekeluarga.

“Selain itu, kita mengalu-alukan segala bentuk bantuan yang boleh dihulurkan bagi meringankan beban mereka sekeluarga seperti bantuan persekolahan untuk anak-anak dan juga bantuan kesihatan buat kedua orang tua yang telah uzur,” ujar Abdul Malik ketika lawatan ke kediaman Che Doh di Kampung Bukit baru-baru ini.

Turut serta, Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Pulau Pinang, Sharifah Noorriati Syed Amirudin, Setiausaha Pertubuhan Wanita Mutiara, Datin Nor Azlina Mat Kharsa, wakil Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketika lawatan tersebut, Che Doh tidak berada di rumah cuma anaknya, Noorsamila Ratna Mohd. Noor, 33, yang menyambut kedatangan delegasi berkenaan.

Antara sumbangan yang disampaikan adalah bantuan duit Hari Raya oleh ZPP dan juga barangan makanan.

Terdahulu, ketika kunjungan pertama, semua ahli keluarga Che Doh telah dibawa ke sebuah pusat membeli-belah bagi memilih sendiri dan membeli sepasang pakaian baru untuk Aidilfitri.

Abdul Malik memberitahu, rumah yang didiami kini adalah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diterima Che Doh sejak tahun 2010 oleh pihak JKM dengan kelengkapan tiga buah bilik. Bilik-bilik tersebut diduduki 12 individu yang mana lapan daripadanya adalah kanak-kanak berusia antara dua bulan sehingga 15 tahun.

Dalam pada itu, Noorsamila menyatakan bahawa beliau terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu restoran di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) bagi memberikan tumpuan menjaga anak-anaknya seramai lapan orang.

“Mak dan abah semakin uzur dan tidak mampu menjaga anakanak saya yang ramai sehingga memaksa saya berhenti kerja bagi memberikan sepenuh perhatian kepada mereka yang masih kecil. Keadaan ini telah menyebabkan pendapatan harian bagi menampung keluarga turut terjejas.

“Suami hanya bekerja kampung dan ayah pula kadangkala bekerja sebagai pembantu di pasar Bayan Lepas untuk menambahkan pendapatan harian kami.

“Mujurlah ada bantuan JKM sebanyak RM450 sebulan, mampulah sedikit sebanyak menampung kehidupan keluarga kami yang besar walaupun terpaksa berjimat cermat untuk membiayai persekolahan anakanak serta menampung keperluan dapur,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

WAJAH ceria cucu-cucu Che Doh selepas menerima barangan sumbangan.
WAJAH ceria cucu-cucu Che Doh selepas menerima barangan
sumbangan.