Beramal pada sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWNMajlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bersama The Penang Toy Stories Project Committee dan Penang Mental Health Association (PMHA) bakal bekerjasama dalam penganjuran Hari kanak-Kanak Sedunia peringkat negeri Pulau Pinang bertemakan makanan dan keseronokan.

Dalam pada itu, PHMA juga bakal membantu melakukan terapi kepada kanak-kanak yang sukar menelaah pelajaran. Ekoran sambutan hangat berhubung penganjuran tahun lalu dengan kehadiran seramai 3,000 pengunjung, sasaran penganjuran tahun ini adalah lebih tinggi.

Malah, pihak penganjur turut menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM50,000 sebagaimana tahun lalu untuk disalurkan kepada PMHA bagi membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran.

Acara tersebut bakal berlangsung pada 4 November ini dari 9 pagi hingga 3 petang di Taman Perbandaran Persiaran Kuari, di sini. Antara aktiviti menarik yang disediakan adalah persembahan kanak-kanak tadika, pertunjukkan muzikal, choral speaking, jigsaw puzzle, menunggang kuda, mini zoo, pameran, demo memadam kebakaran kepada kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan dan pelbagai lagi.

DR. Sim Joo Seng (kanan sekali) dan Betty Chew (dua dari kanan) membuka tirai pelancaran simbolik Hari Kanak-kanak Sedunia 2012 peringkat negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
DR. Sim Joo Seng (kanan sekali) dan Betty Chew (dua dari kanan) membuka tirai pelancaran simbolik Hari Kanak-kanak Sedunia 2012 peringkat negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Pengarah projek Hari kanak-Kanak Sedunia, Dr Sim Joo Seng menyeru orang ramai turut serta memberi sokongan dan beramal melalui penganjuran program berkenaan.

Presiden Pertubuhan Wanita Pulau Pinang, Betty Chew yang turut hadir pada majlis itu turut menyatakan hasrat sama.

“Marilah sama-sama kita menjayakan program ini bagi meringankan beban kanakkanak memerlukan supaya mereka dapat membesar pada persekitaran yang sihat dan cergas,’’ ujarnya.

Penganjuran tersebut turut menerima penajaan dari Syarikat Minuman Sunquick, Petronas, Kolej SEGi dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang.