Semakan dan permohonan bantuan khas one-off RM500 kepada penjaja/penggerai layak dibuka mulai 18 Mei – Datuk Bandar MBSP

Admin

SEBERANG PERAI – Semua sektor yang dibenarkan beroperasi pada Fasa Pembiasaan yang bermula hari ini sehingga 12 Mei depan tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tegas.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, MBSP menggunakan Fasa Persiapan (4 hingga 7 Mei 2020) untuk merancang, menyedia dan melaksanakan SOP untuk diimplementasikan bermula hari ini (8 Mei 2020).

Jelasnya, Fasa Pembiasaan dalam Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang membolehkan sektor pembuatan kembali beroperasi seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi pengusaha dan operasi tertakluk kepada SOP.

“Manakala, sektor pembinaan meskipun dibenarkan beroperasi tetapi masih perlu membuat permohonan kepada Pengarah Bangunan MBSP dan Pengarah Kejuruteraan MBSP untuk menyambung kerja.

“Untuk sektor sukan pula, acara atau sukan yang melibatkan ramai pemain atau penonton masih tidak dibenarkan…justeru Kompleks Sukan di Jalan Betik, Kompleks Sukan Bertam, Kompleks Sukan Sony, Kolam Renang Seberang Jaya, Kolam Renang Jalan Betik, semua Dewan Orang Ramai dan sebagainya akan kekal ditutup.

“Manakala, Dataran Pemuda Merdeka dekat Butterworth hanya dibenarkan untuk aktiviti sukan secara individu atau aktiviti kecergasan ringan sahaja.

“Hutan Lipur Cherok Tok Kun, Bukit Pancor, Bukit Juru dan Empangan Mengkuang akan kekal ditutup,” jelas beliau dalam Siaran Langsung Sesi Soal Jawab Bersama Datuk Bandar melalui Facebook Majlis tengah hari tadi.

Sementara itu, Rozali turut memaklumkan bahawa Kaunter Berpusat MBSP hanya akan dibuka pada 13 Mei 2020.

“MBSP sedang merangka norma baru dalam pelaksanaan tugas harian, semua 134 perkhidmatan kaunter akan disediakan melalui siber kaunter berbanding hanya 11 perkhidmatan pada ketika ini. Perkhidmatan kaunter yang disediakan meliputi 49 perkhidmatan bayaran bil dan selain bayaran bil (85),” jelas beliau.

Mengulas mengenai Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 yang diumumkan Kerajaan Negeri pada 6 Mei lalu, Rozali memberitahu bahawa sebanyak 1,153 peniaga di kompleks makanan/kedai persendirian berlesen dan 2,933 peniaga yang mempunyai tagging di sekitar Seberang Perai akan menerima manfaat bantuan khas one-off RM500.

“2,933 penjaja di 13 kawasan yang disediakan Majlis.

“Semakan kelayakan penerimaan dan permohonan bantuan ini boleh dibuat mulai 18 Mei 2020 menerusi laman web yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF