Bantuan LKIM mampu tingkatkan hasil tangkapan nelayan

img 7553 MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan berupa pukat udang kepada salah seorang nelayan lokal dalam Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama-sama Nelayan di Dewan PNK Teluk Bahang di sini pada 16 Oktober 2026.

PULAU BETONG – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memperkasa kebajikan komuniti nelayan tempatan menerusi penyaluran bantuan peralatan menangkap ikan, termasuk enjin bot, pukat dan tong insulasi, kepada 31 nelayan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Teluk Bahang menerusi Program Rahmah Mesra MADANI.

img 7547
MUHAMMAD Faiz Fadzil

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, agensi persekutuan itu komited memastikan bekalan ikan mencukupi serta berusaha menstabilkan harga di pasaran, di samping memastikan golongan nelayan memperoleh pulangan yang setimpal dengan usaha mereka.

“Kadar Sara Diri (SSR) ikan negara kini mencapai 90 peratus, manakala kira-kira 10 peratus bekalan ikan diimport dari luar negara bagi memenuhi permintaan domestik.

“Pencapaian SSR ini mencerminkan sumbangan dan pengorbanan nelayan di seluruh negara, termasuk 31 nelayan PNK Teluk Bahang.

“Justeru, saya berharap penerima bantuan LKIM pada hari ini dapat memanfaatkan bantuan tersebut dengan penuh amanah dan bertanggungjawab bagi meningkatkan hasil tangkapan masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama-sama Nelayan di Dewan PNK Teluk Bahang di sini pada 16 Oktober 2026.

Dalam majlis sama, Muhammad Faiz mengumumkan peruntukan tambahan LKIM sebanyak RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan program dalaman persatuan, seperti yang dimohon Pengerusi PNK Teluk Bahang, Johari Mohamad.

img 7558

img 7549Beliau turut menyampaikan cek cura bagi tiga inisiatif, iaitu Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Teluk Bahang bagi tempoh Januari hingga September 2025 berjumlah RM693,000; Projek Membina dan Menaik Taraf Infrastruktur Pusat Agropelancongan PNK Teluk Bahang berjumlah RM200,000 serta Program Peningkatan Produktiviti Nelayan B40 PNK Teluk Bahang berjumlah RM50,000.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul; Pengarah LKIM Pulau Pinang, Noor Azlida Dato’ Mohad Khazin; serta Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, Mahadi Md. Rodzi.

a2af5731 2beb 4a91 adaf d9ccba1f2ae1Dalam sidang media selepas itu, Muhammad Faiz memberi jaminan bahawa bekalan ikan negara akan kekal mencukupi menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya menjejaskan aktiviti penangkapan ikan di kawasan tertentu.

Menurut beliau, stok penimbal ikan disediakan bagi menampung kemungkinan kekurangan pendaratan hasil laut sepanjang musim tengkujuh.

“Stok penimbal ini diuruskan secara konsisten dengan kerjasama persatuan nelayan tempatan serta pihak swasta.

“Kawalan kitaran stok dilaksanakan mengikut tahap kesegaran bagi memastikan tiada gangguan bekalan di pasaran,” katanya.

Tambah beliau, stok ikan berkenaan ditempatkan di bilik sejuk beku kompleks LKIM di beberapa lokasi strategik di seluruh negara, termasuk Labuan, Tawau, Kuala Kedah, Besut, Kemaman dan Kuantan.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa LKIM bersedia menggerakkan lebih 2,000 peniaga dalam rangkaian pemasaran ikan import bagi membantu memastikan bekalan ikan terus mencukupi.

Pada masa sama, nelayan di zon tertentu yang menggunakan bot besar masih boleh turun ke laut, manakala aktiviti penangkapan ikan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dijangka berjalan seperti biasa bagi memenuhi permintaan pasaran.

Menyentuh pembangunan infrastruktur perikanan, Muhammad Faiz memaklumkan bahawa lebih RM2 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi membina dan membaik pulih jeti yang dikenal pasti memerlukan kerja-kerja berkenaan.

Berhubung peruntukan menerusi Belanjawan 2027 Persekutuan, beliau berkata, peruntukan kepada LKIM diharapkan dapat terus dipertingkatkan bagi menaik taraf prasarana perikanan, meningkatkan kesejahteraan nelayan serta menjamin keterjaminan makanan negara.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB