Barber Sand tambahbaik kebersihan pantai Batu Feringghi

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BATU FERINGGHI – Sebagai usaha memperindahkan lagi kualiti kebesihan kawasan pantai di sini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengaplikasikan penggunaan mesin pembersihan pantai dikenali Barber Sand model 850 di sini baru –baru ini.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail berkata, jentera membabitkan kos RM72,000 tersebut mampu menjalankan kerja-kerja pembersihan secara teliti di atas permukaan pasir atau yang tertanam sehingga kedalaman 10 sentimeter (cm) bagi memperindahkan kualiti kawasan pantai Batu Feringghi.

“Dengan kelajuan selamat kira-kira 5.5 kilometer sejam, jentera ini akan dapat mebersihkan pelbagai sisa termasuk kaca pecah, plastik, puntung rokok, ranting kayu, batu kecil, kulit kerang dan sebagainya.

“Jentera bakal dikendalikan seorang pekerja akan beroperasi selama empat hari seminggu (kecuali hari kelepasan am dan
cuti umum) dari jaluran pantai berhadapan Hotel Rasa Sayang sehingga pantai berhadapan Bayview Beach Hotel and Resort,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Mesin Pembersihan Pantai di Batu Feringghi baru-baru ini di sini.

Turut hadir Ahli-ahli Majlis MPPP, D.S. Harvinder Singh, A. Kumaresan, Lee Chun Kit dan Tan Kim Hooi.

Tambah Patahiyah, MPPP peka bahawa kebersihan adalah agenda utama dititikberatkan dalam memenuhi keperluan semasa terutamanya sektor pelancongan kawasan Batu Feringghi yang merupakan destinasi masyur dalam kalangan pelancong antarabangsa.