Basmi Aedes, laksana gotong-royong bersih kawasan sekitar – Exco

AIR ITAM – Sehingga minggu ke-50 iaitu dari 1 Januari hingga 19 Disember 2015, terdapat sejumlah 19 kes kematian dilaporkan akibat denggi di Pulau Pinang berbanding tujuh kematian bagi tempoh sama tahun 2014.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, kes terkini adalah membabitkan seorang remaja berusia 16 tahun dari Teluk Kumbar, Daerah Barat Daya.

“Statistik ini adalah agak membimbangkan kerana daripada pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 21,452 kes denggi dilaporkan di seluruh negara melibatkan mereka yang berumur antara 7 hingga 17 tahun.

“Malah, statistik kes demam denggi di Pulau Pinang juga meningkat iaitu dari 2,558 kes pada 2014 ke 5,430 kes (Januari hingga 19 Disember 2015).

“Begitu juga lokaliti wabak yang masih aktif, di Pulau Pinang sahaja, terdapat 40 lokaliti tidak termasuk enam hotspot sebagaimana dilaporkan KKM,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat demam denggi, M. Subramaniam, 63, di Bandar Baru Air Itam dekat sini, baru-baru ini.

Turut sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh serta beberapa pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Pada lawatan tersebut, Guan Eng mewakili Kerajaan Negeri menyerahkan sejumlah RM500 sumbangan kepada isteri mendiang, M. Muthatha, 59.

Mendiang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengalami demam berpanjangan sejak 29 November lalu dan disahkan meninggal dunia pada 6 Disember 2015.

Afif yang juga ADUN Seberang Jaya, dalam pada itu, menyarankan semua pihak termasuk sekolah supaya melaksanakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan persekitaran agar bebas lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

“Kerajaan Negeri amat bimbang dengan situasi denggi di negeri ini dan kita (Kerajaan Negeri) akan menggiatkan lagi kempen-kempen kesedaran dan aktiviti gotong-royong secara konsisten terutama di lokaliti wabak yang masih aktif di Pulau Pinang,” ujar beliau