Perbincangan pemulihan projek Majestic Heights Fasa 2B & 3A dijangka Jan. 2016 – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

 

PAYA TERUBONG – Projek perumahan Majestic Heights Fasa 2A, Taman Paya Terubong yang terbengkalai sejak 1998 dijangka siap menjelang Ogos 2016, iaitu lebih awal daripada tempoh dijangkakan pada Januari 2017.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, kerja-kerja pemulihan projek tersebut bermula pada Julai lalu (2015) dan sekiranya mengikut jadual asal, ia hanya akan siap sepenuhnya pada Januari 2017, iaitu membabitkan tempoh masa kira-kira 18 bulan.

“Bagaimanapun, pihak Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa proses penyiapan kini telah mencapai tahap 35 peratus lebih awal berbanding kemajuan berjadual sebanyak 22 peratus.

“Justeru, diharap ia (projek) bakal memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Ogos 2016 bagi membolehkan pembeli yang telah menunggu sekian lama memperoleh kunci kependudukan masingmasing,” katanya pada majlis sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan wakil-wakil pihak pemaju.

Projek Majestic Heights Fasa 2A terbengkalai sejak tahun 1998 sejurus selepas fasa pertama siap. Secara fizikalnya, ia telah siap 70 peratus sebelum terbengkalai sehinggalah hasil dari inisiatif Kerajaan Negeri, syarikat PLB Land Sdn. Bhd. dilantik bagi menyiapkan baki 30 peratus projek berkaitan bagi kepentingan para pembeli berkaitan.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju berhubung isu pemulihan semula projek Majestic Heights Fasa 2B dan 3A pada Januari 2016.

“Kita juga akan cuba membantu 542 pembeli bagi Fasa 2B dan Fasa 3A (558) yang terbengkalai pada peringkat awal pelaksanaan projek,” jelas beliau.}