Batal larangan pembangkang masuk Sarawak sempena PRN – Guan Eng

GEORGE TOWN – Pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem digesa menarik balik perintah larangan masuk ke Sarawak sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kini, yang membabitkan beberapa wakil rakyat serta pemimpin pembangkang.

Ketegasan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng itu turut dinyatakan dalam surat kepada Adenan, 12 April lalu.

“Janganlah berdalih kononnya (larangan ini demi) melindungi negeri (Sarawak) daripada elemen-elemen tidak baik, dan pembangkang boleh masuk selepas pilihan raya negeri Sarawak ke-11 berakhir.

“Kita menyokong bahawa Sarawak mempunyai kuasa untuk melindungi kepentingannya sebagai sebahagian Malaysia, tetapi kita tidak bersetuju dengan penyalahgunaan kuasa seperti ini,” katanya pada sidang media di sini 15 April lalu.

Sehari sebelum itu, Guan Eng menggesa Adenan serta Pengarah Imigresen Negeri Sarawak menarik semula perintah larangan tersebut atas hujah mereka yang terbabit adalah wakil rakyat serta bukan suspek penjenayah.

“Tujuan Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai) dan Ooi Leng Hang (pencipta maskot Ubah) untuk masuk ke Sarawak hanyalah untuk melibatkan diri secara sah di dalam aktiviti politik bersempena Pilihanraya Negeri Sarawak.

“Saya merujuk Seksyen 67 Akta Imigresen yang menyatakan bahawa: 67. Subseksyen 66 (1) hendaklah tidak berkuatkuasa dalam hubungan dengan seseorang warganegara yang memasuki Negeri Malaysia Timur hanya untuk menceburkan diri dalam aktiviti politik yang sah; tetapi beban membuktikan bahawa seseorang itu berhak memasuki Negeri Malaysia Timur di bawah seksyen ini terletak ke atasnya.

“Seksyen 66 (1) tidak seharusnya memberi sebarang kesan terhadap mereka dan mereka harus dibenarkan untuk masuk ke Sarawak sebagai satu hak,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut mengecam larangan sama ke atas dua Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dihalang masuk ke Sarawak pada 10 April.

Manakala, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin pula ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen Sarawak ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 13 April lalu.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 37 ahli parlimen pembangkang, aktivis dan ahli akademik telah dilarang ke bumi kenyalang itu. Antaranya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan) dan Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara), ClareRewcastle Brown (Editor portal berita atas talian Sarawak Report) juga berada dalam senarai itu.