Tweet palsu, Pegawai KM buat laporan polis

GEORGE TOWN – Pegawai Khas kepada Ketua Menteri membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani, Daerah Timur Laut mengenai kicauan twitter palsu menggunakan nama pemimpin berkaitan yang kononnya mengusir pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik dari tanah air.

Pegawai berkaitan, Mejar (B) Zaidi Ahmad memberitahu pemberita selepas membuat aduan polis berwajib di sini barubaru ini.

Hadir sama, Pegawai Koordinator AES (Agenda Ekonomi Saksama) dan Tugastugas Khas kepada Ketua Menteri, Abdul Wahab Long.

Zaidi dalam kenyataannya menggesa pihak polis supaya menyiasat dalang di sebalik angkara fitnah tersebut.

“Di sini saya ingin tekankan, Ketua Menteri, Y.A.B, Tuan Lim Guan Eng amat mementingkan perpaduan kaum di negeri ini.

“Perkara yang disebar ini sememangnya tidak benar dan saya yakin rakyat mampu menilai hal tersebut,” katanya.

Kicauan twitter palsu atas nama @ cmlimguaneng itu tertera, “Zakir Naik mesti disekat. Saya akan pastikan dia tidak masuk Pulau Pinang. Rakyat mesti tolak dan halau Extremist agama macam dia!”

Sebaran fitnah tersebut menurut Zaidi mula dikesan pada 11 April, jam 5:52 petang.

Sehubungan itu, Guan Eng melalui Tweetnya menyifatkan perkara tersebut sebagai fitnah oleh pihak musuh. Tweet beliau berbunyi, ‘FITNAH! Ini tweet palsu oleh musuh yg gunakan taktik pengganas. Laporan polis akan dibuat oleh pegawai saya pagi ini.