87.2% responden sokong projek Gurney Wharf

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Sejumlah 87.2 peratus atau 730 responden daripada keseluruhan 837 maklum balas yang diterima sepanjang dua minggu pameran dan publisiti awam diadakan, menyokong pemajuan projek ikonik persiaran pantai, Gurney Wharf.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, secara khususnya, daripada 837 maklum balas yang diterima, 832 maklum balas diterima secara individu manakala lima maklum balas lain diterima dari badan bukan kerajaan dan syarikat swasta seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Perbadanan Pengurusan Bella Vista, Perbadanan Pengurusan Regency, Penang Institute serta Photosyn Sdn. Bhd..

“Manakala daripada 832 responden, 399 responden adalah anak jati kelahiran Pulau Pinang.

“Secara ringkasnya, majoriti responden menyokong projek Gurney Wharf dan hanya 5.7 peratus sahaja tidak bersetuju atau 48 responden,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke tapak pemajuan Gurney Wharf di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, terdapat beberapa isu yang diketengahkan oleh responden perlu dilihat secara mendalam.

“Antaranya, pengurusan trafik bagi keseluruhan kawasan pemajuan Gurney Wharf termasuk cadangan pembinaan lebuh raya dan terowong dasar laut.

“Malah, ada juga yang begitu prihatin terhadap penjagaan dan penyelenggaraan taman-taman awam yang bakal dibangunkan kelak.

“Semua cadangan ini akan diteliti dan Kerajaan Negeri akan memastikan projek Gurney Wharf memberi manfaat dan menambah baik kawasan Persiaran Gurney kini,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberi maklum balas.

Dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020, projek Gurney Wharf merangkumi empat kawasan ‘berperwatakan’ iaitu medan makan dan minuman persisir pantai, taman air diinspirasikan dari Gardens by the Bay (Singapura), persisir pantai sejauh 1.5 kilometer dan kawasan teduhan yang dilengkapi dengan pokok teduhan dan kawasan riadah.

Terkini, pemasangan pagar anti-panjat telah siap hampir 40 peratus dan kerja-kerja pemasangan tirai kelodak pula kini mencecah 65 peratus daripada keseluruhan 6,600 meter.

Kerja-kerja pengorekan dan penambakan hanya akan bermula setelah pemasangan tirai kelodak siap kelak, iaitu awal Mei 2016.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);