Batalkan lesen penjualan arak murah, kata Ahli Majlis MPSP

SEBERANG JAYA – Arak murah dijual di Pulau Pinang dengan harga serendah RM2 sebotol, lebih murah berbanding air berkarbonat 100 Plus, disebabkan undang-undang yang telahpun diwartakan tidak dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan hari ini.

Justeru, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) P. David Marshel menggesa Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkifly Ahmad segera menguatkuasakan pengharaman jualan arak murah di negara ini terutama di Pulau Pinang.

“Peraturan-Peraturan Makanan (Pindaan) 2016 berkenaan penjualan alkohol dan had umur penjualan alkohol telah diwartakan oleh bekas Menteri Kesihatan pada 27 Mei 2016.

“Dan, bekas Menteri Kesihatan turut mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan bahawa tiada lagi arak murah di Malaysia selepas 1 Disember 2017, namun semua ini bohong rupanya.

“Hingga sekarang, arak murah masih dijual di merata-rata tempat di Malaysia, sedih!

“Menteri Kesihatan baru (Dzulkifly) harus bertindak tanpa melengahkan lagi masa, segera kuatkuasakan Peraturan-Peraturan Makanan (Pindaan) 2016, dengan sedikit penambahbaikkan supaya dapat menyelamatkan banyak nyawa dan mengatasi pelbagai masalah sosial di Malaysia,” tegasnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam Masyuarat Penuh Majlis dekat Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini pada tengah hari 27 Ogos 2018.

Menurut David Marshel, lebih 300 jenis arak buatan tempatan dengan kandungan alkohol 40 peratus bagi isipadu 750 milimeter (ml) diberi lesen menjual dengan harga sebotol bawah RM50 sahaja, kerana tiada penguatkuasaan undang-undang yang telahpun diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan sendiri.

“(Arak) yang paling murah dijual ialah RM2 sebotol isipadu 125 ml, dengan kandungan alkohol adalah 38 peratus, ia sangat murah berbanding air bergas seperti 100 Plus,” tegasnya.

David Marshel merupakan pemimpin muda Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai.

Ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh Majlis, beliau turut merayu kepada Zulkeply Ishak iaitu Ahli Majlis MPSP daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) supaya memanjangkan isu berbangkit tersebut kepada Dzulkifly.

Dengan sokongan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, David Marshel menyatakan bahawa pada tahun 2014 lagi beliau menyelaras Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia dengan mengutip lebih 50,000 tandatangan sokongan daripada orang awam di seluruh negara.

Di peringkat MPSP, menurutnya, semua lesen arak kedai runcit telahpun berjaya dibatalkan, kecuali di kedai ubat tradisional Cina.

Demi mengawal penjualan arak murah, tegas beliau, MPSP turut memperkenalkan lesen arak khas yang membenarkan penjualan arak mematuhi semua syarat Akta Eksais 1976.

“Berdasarkan akta ini, mereka perlu patuhi seperti syarat jarak 250 meter (m) radius; tidak dibenarkan premis lesen arak khas berada di kawasan perumahan, masjid, kuil berdaftar, tokong berdaftar, gereja, sekolah, institusi pendidikan dan hospital.

“(Penguatkuasaan lesen khas arak) ini akan mengurangkan sebanyak 60 hingga 70 peratus premis penjualan arak di Seberang Perai.

“Arak murah adalah punca pelbagai penyakit kronik dan barah apabila orang miskin begitu mudah membeli sebotol dengan serendah harga RM2 sahaja.

“Jika dasar ini diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk dikuatkuasakan, maka tiada lagi arak murah dijual bersama-sama barangan runcit keperluan asas seperti susu bayi, beras, air minuman ringan, tepung dan lain-lain lagi,” ujarnya sambil memohon Kerajaan Negeri mempertimbang kelulusan untuk menguatkuasa Dasar Lesen Arak yang baru diluluskan di peringkat MPSP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD