GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri meluluskan cadangan Pemakaian Garis Panduan Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Bagi Kesalahan Pembuangan Sampah Kecil Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan berkuat kuasa sepenuhnya 1 Julai ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata bahawa kelulusan tersebut diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 06 Mei 2026.
Tambahnya, antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah pelaksanaan PKM ini termasuk membuang puntung rokok di tempat awam, membuang tisu, plastik, botol dan pembungkus makanan merata-rata.

Kesalahan -kesalahan lain termasuklah membuang sampah ke dalam longkang atau parit, meninggalkan sampah di taman awam, pantai dan kawasan rekreasi, membuang sampah dari dalam kenderaan serta meninggalkan sisa makanan atau sampah selepas berniaga di kawasan awam seperti pasar malam, medan selera dan pusat penjaja.
“Pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan aspirasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, mampan dan lestari.
“Pelaksanaan PKM ini turut diperkukuh melalui pewartaan Akta Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 [Akta A1772] dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 [Akta A1773] pada 12 November 2025 yang memberi kuasa kepada PBT untuk melaksanakan pendekatan hukuman berbentuk khidmat masyarakat bagi kesalahan berkaitan kebersihan awam.

“Bagi memastikan pelaksanaan yang seragam dan teratur, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (BKT, PSUKPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menyelaras garis panduan pelaksanaan PKM yang merangkumi aspek penguatkuasaan, pemantauan dan pelaksanaan khidmat masyarakat.
“Pendekatan penguatkuasaan yang lebih praktikal dan telus juga akan dilaksanakan termasuk penggunaan rakaman kamera badan (body camera) serta rakaman video atau gambar sebagai bahan bukti semasa operasi penguatkuasaan dijalankan,” ujarnya dalam satu sidang media di Komtar sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian BKT, Muhamad Husni Mahmud dan Pengarah Perkhidmatan Jabatan Perbandaran MBPP, Rashidah Jalaludin.
Mengulas lanjut, Mooi Lye memberitahu bahawa individu yang disabitkan kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau boleh diperintahkan menjalani PKM selama maksimum 12 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam (6) bulan atau kedua-duanya sekali.
“Kegagalan mematuhi perintah mahkamah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Hukuman ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya memberi pendidikan secara langsung kepada pesalah agar lebih memahami dua kepentingan menjaga kebersihan awam dan tanggungjawab sivik terhadap persekitaran.
“Antara bentuk aktiviti khidmat masyarakat yang boleh diarahkan kepada pesalah termasuklah kerja-kerja pembersihan di jalan awam, pasar awam, longkang, pantai awam, taman awam, tandas awam, perhentian bas, laluan pejalan kaki, jejantas, medan selera dan pusat penjaja,” jelasnya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Selain itu, pesalah juga boleh diarahkan menyertai aktiviti gotong-royong komuniti, membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir atau bencana serta menyertai program pendidikan, komunikasi dan kesedaran awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) yang dianjurkan oleh PBT atau agensi kerajaan berkaitan.
Oleh: WATAWA NATAF ULKIFLI
Gambar : MBPP