PULAU BETONG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terus memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran Program Penanaman 10,000 Anak Bakau MBPP Tahun 2026 yang berlangsung di Hutan Paya Laut, di sini pagi tadi.
Program tersebut dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara MBPP, JKS Voltsvans Garage, Universiti Sains Malaysia (USM),Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang dan Penguin Solution.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendaran berkata , program berkenaan bukan sekadar aktiviti penanaman pokok, sebaliknya simbol komitmen bersama dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Ekosistem paya bakau memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan, ombak besar, ribut dan kenaikan paras laut selain menjadi habitat penting kepada pelbagai spesies hidupan marin,” katanya ketika berucap pada Program Penanaman Bakau Peringkat MBPP Bagi Tahun 2026 di Hutan Paya Laut (Petak Arboretum) dekat Pantai Malindo, Balik Pulau, kelmarin.

Tambanya, program itu juga selaras dengan visi Penang2030 serta menyokong agenda pembangunan mampan menerusi pelaksanaan Sustainable Development Goals (SDGs) khususnya SDG 13 (Climate Action), SDG 14 (Life Below Water) dan SDG 15 (Life on Land).
Rajendran dalam pada itu memaklumkan bahawa MBPP melalui Jabatan Landskap telah menjalinkan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama JKS Voltsvans Garage pada 12 Julai 2025 bagi pelaksanaan ‘Trip 4 Trees Program’.
“Melalui kerjasama ini, sebanyak 10,000 anak pokok bakau telah disediakan sebagai usaha memperkukuh pemuliharaan kawasan pesisir pantai di Pulau Pinang,” maklum beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata MBPP telah menanam sebanyak 540,783 pokok di seluruh kawasan pulau sejak tahun 2020 hingga April 2026 sebagai usaha menjadikan Pulau Pinang lebih hijau, bersih, selamat dan sihat.
“Selain itu, sebanyak 29,432 anak pokok bakau turut ditanam di kawasan Balik Pulau dalam tempoh sama.
“Program berkenaan melibatkan penyertaan kira-kira 100 sukarelawan terdiri daripada Ahli Majlis, ketua jabatan, kakitangan Jabatan Landskap MBPP serta wakil pelbagai agensi dan organisasi,” ulasnya lanjut.
Dalam pada itu, MBPP turut menyediakan pelbagai keperluan logistik termasuk pembiayaan pembelian 10,000 anak pokok bakau melibatkan kos sebanyak RM98,000.
Rajendran memberitahu MBPP akan terus komited melaksanakan pelbagai program penghijauan dan pemuliharaan alam sekitar demi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai bandar hijau dan lestari untuk didiami.
Gambar : MBPP