Cadangan pembinaan jambatan sebagai alternatif laluan ketiga

Admin
img 20260512 wa0037

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang mengkaji cadangan pembinaan sebuah jambatan yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar sebagai alternatif kepada projek laluan ketiga.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan setiap keputusan pembangunan infrastruktur mega dibuat secara berhemah, praktikal serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri juga masih belum membuat sebarang bayaran berkaitan projek terdahulu dan segala tuntutan berkaitan masih tertakluk kepada penelitian lanjut berdasarkan kedudukan semasa.

“Kita mengambil pendekatan berhemah serta praktikal dalam meneliti hala tuju projek ini bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira aspek kebolehlaksanaan teknikal, impak kewangan, keperluan mobiliti rakyat serta manfaat jangka panjang kepada Pulau Pinang.

“Pada masa ini, Kerajaan Negeri sedang mengkaji daya maju cadangan pembinaan sebuah jambatan yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar sebagai alternatif kepada projek terdahulu,” katanya ketika menggulung perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini baru-baru ini.

Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga berkata, kajian tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh Kerajaan Negeri bagi memastikan sebarang projek infrastruktur yang dilaksanakan benar-benar mampan, praktikal dan memberi pulangan optimum kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa penyelarasan bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) masih diteruskan bagi mencapai keputusan menyeluruh yang mengambil kira aspek teknikal, logistik, navigasi marin serta kepentingan strategik pembangunan negeri pada masa hadapan.

Terdahulu Zairil memberitahu, Laporan Kajian Kebolehlaksanaan bagi Cadangan Projek Terowong Dasar Laut Penang Third Link telah disiapkan, dikemukakan dan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri serta telah diluluskan pada hari yang sama oleh Kerajaan Negeri pada 5 April 2023.

Jelasnya, skop kerja yang terlibat dalam penyediaan laporan dan kajian tersebut merangkumi pelbagai komponen teknikal dan profesional termasuk kerja ukur tanah, kajian teknikal dan kejuruteraan, reka bentuk awal, penyediaan pelan, khidmat perunding profesional serta kajian-kajian berkaitan yang diperlukan bagi menilai daya maju pelaksanaan projek tersebut secara menyeluruh.

“Bagi peringkat kerja tersebut, jumlah kelayakan bayaran yang terlibat adalah sebanyak RM20 juta melalui kaedah pertukaran tanah (land exchange).

“Walau bagaimanapun, setakat ini Kerajaan Negeri masih belum membuat sebarang bayaran bagi projek tersebut,” ulasnya lanjut.

Bagi aspek kerja raya, Zairil turut memberi maklum balas terhadap persoalan ADUN Sungai Dua merangkap Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff mengenai isu jalan beralun dan tidak rata di Sungai Lokan ke Sungai Dua.

“Jalan ini telah dimasukkan ke dalam perancangan kerja tahun 2026 Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Utara (SPU) untuk pelaksanaan kerja menurap dan mengecat semula.

“Kerja ini dijangka akan diiklankan kepada kontraktor pada 15 Mei 2026.

“Proses pemilihan kontraktor dijangka selesai dengan penyerahan Surat Setuju Terima pada pertengahan bulan Jun 2026,” maklum beliau lagi.

Berkenaan tebatan banjir pula, Kerajaan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang sedang menyelesaikan beberapa isu melibatkan kawasan Balik Pulau, Teluk Air Tawar, Teluk Bahang, Permatang Pasir, Guar Perahu, Tanah Liat dan kawasan-kawasan lain.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN