Baucer demi jayakan kempen e-waste

TANJUNG BUNGA – Pusat membeli-belah Straits Quay Retail Marina menganjurkan kempen pengumpulan sisa yang boleh dikitar semula, termasuk barang-barang elektrik dan elektronik terbuang (e-waste) baru-baru ini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berharap inisiatif itu dapat menggalakkan orang ramai melupuskan e-waste dengan keadah yang betul.

“Kempen ini akan mendidik orang ramai untuk mengendalikan peralatan rumah yang tidak dipakai lagi dengan cara yang betul dan lebih selamat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu pada Majlis Pelancaran Kempen Pengumpulan Sisa Boleh Dikitar Semula di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Promosi dan Pengiklanan Straits Quay Retail Marina, Amy Lee. Menurut Amy, pihaknya menyediakan baucer bernilai RM5, RM10 dan RM15 demi menggamit minat pengunjung ke sini.

“Orang ramai boleh menyerahkan peralatan seperti komputer riba, kamera, telefon bimbit, CPU ataupun peralatan elektrik dan elektronik rumah kepada kaunter penerangan di sini.

“Insentif dalam bentuk baucer tunai akan diberikan mengikut kategori e-waste yang dilupuskan,” ujarnya sambil menyatakan bahawa kempen berkaitan berlangsung selama dua bulan iaitu mulai 12 Mac 2016 hingga 1 Mei ini.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);