Dasar Pengasingan Sisa Di Punca harap panjangkan hayat Pulau Burung

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & AHMAD ADIL MUHAMAD

 MACHANG BUBUK – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memperuntukkan sejumlah peruntukan khas bagi menjayakan inisiatif Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, bagi tahun ini, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memperuntukkan sejumlah RM95.64 juta bagi MBPP dan RM98.99 juta (MPSP) melibatkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Oleh itu, saya percaya, kita (Kerajaan Negeri dan PBT) perlu meningkatkan kesedaran rakyat untuk terus mengamalkan pengasingan sisa di punca bagi menjayakan usaha ini,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Dasar Pengasingan Sisa Di Punca Kategori Taman Perumahan dekat Taman Seri Impian, Alma di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yakin dan percaya bahawa usaha yang dilaksanakan kedua-dua PBT tersebut mampu memanjangkan hayat tapak pelupusan sampah di Pulau Burung sekaligus menikmati penjimatan kos pengurusan sehingga 50 peratus PBT-PBT berkaitan.

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, sekiranya penduduk Seberang Perai dapat mengurangkan sisa sebanyak 50 peratus, iaitu dari 1,100 tan sehari yang dicatatkan kini kepada 550 tan, penjimatan yang bakal dinikmati MPSP dalam tempoh setahun adalah RM3,999,600.

Terdahulu, inisiatif serupa turut diluncurkan di bahagian pulau di syarikat Penfabric Sdn. Bhd. (bagi Kategori Kilang) dan Taman Lone Pine Resort & Kondominium (Kategori Kondominium).

Sebelum ini, ia turut diperkenalkan di beberapa premis mengikut kategori seperti rumah kampung, rumah taman, projek perumahan rakyat (PPR), kondominium, kilang, hotel, outlet makanan, pusat membeli-belah dan kompleks kerajaan.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);