Bayar balik TP1M Taman Pinang jika Pusat ikhlas – Exco

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL – Putrajaya disyor membayar balik 90 peratus daripada kos keseluruhan pembaikan bumbung Perumahan Taman Pinang kepada Kerajaan Negeri, memandangkan projek permohonan sama turut diluluskan pelaksanaannya di bawah Tabung Perumahan 1Malaysia (TP1M) bagi tahun 2014 baru-baru ini.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, permohonan Perbadanan Pengurusan Taman Pinang yang diluluskan lebih awal sebelum ini sebenarnya selepas Kerajaan Negeri mengambil kira kepentingan serta keselamatan penduduk rumah kos rendah swasta terbabit.

Jelasnya lagi, kelulusan tersebut atas dasar 20:80, iaitu RM31,000 disumbangkan oleh Perbadanan Pengurusan Taman Pinang dan baki RM124,000 lagi dibiayai Kerajaan Negeri.

“Kalau ikhlas, Kerajaan Pusat mesti bayar balik 90 peratus (dari keseluruhan kos RM155,000) seperti dijanjikan dalam TP1M supaya Kerajaan Negeri turut boleh memulangkan semula RM31,000 yang disumbangkan badan pengurusan penduduk Taman Pinang terbabit sebelum ini,” ujarnya selepas majlis penyerahan balik kunci rumah pasca baik pulih rumah kos rendah Blok 5 Mak Mandin 1 di sini baru-baru ini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu, syornya itu turut dipanjangkan oleh Penolong Pegawai Kewangan Negeri, Hashimah Mohamed Hashim dalam satu surat rasmi kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Pulau Pinang pada 9 Jun lepas.

Tambah Jagdeep, pihaknya tidak wajar dipersalahkan berhubung perkara berbangkit tersebut, memandangkan Kerajaan Negeri sendiri tidak pernah dijemput berunding dalam TP1M yang diperkenalkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sejak bulan Januari 2010 lagi.

Di bawah TP1M, difahamkan, Kerajaan Pusat menanggung 90 hingga 70 peratus, manakala, 10 peratus hingga 30 peratus baki ditanggung oleh badan pengurusan bersama (JMB) atau persatuan penduduk (PP).

Sehingga kini, direkodkan sebanyak 116 permohonan TP1M telahpun lengkap dihantar dari Pulau Pinang, manakala, hanya tiga projek diluluskan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dekat Putrajaya, iaitu Taman Sungai Batu, Taman Haji  Mohd. Amin, dan terbaru Perumahan Sungai Pinang.

Bagaimanapun, ICU JPM dalam satu suratnya bertarikh 9 April lepas memberitahu bahawa 40 permohonan dari Pulau Pinang sedang dipertimbangkan untuk diluluskan.

“Senarai 40 permohonan tersebut sedang dipertimbang untuk diluluskan, dan belum diluluskan lagi sebenarnya. Kerajaan Negeri sendiri tidak dirundingi dalam pemilihan projek perumahan yang layak dipertimbang bantuan TP1M ini sebenarnya,” tegas Jagdeep sambil berharap Putrajaya tidak terus menganaktirikan kepentingan rakyat di negeri ini.