Bayar cukai taksiran MBSP RM242.10, dapat hadiah wang tunai RM8,888

SEBERANG JAYA – Tuah dilihat menyebelahi Mohamad Shahril Kamarudin dari Bertam Perdana 2, Kepala Batas apabila terpilih sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bernilai RM8,888.

Mohamad Shahril memenangi hadiah tersebut setelah melunaskan bayaran akhir cukai taksiran berjumlah RM242.10 melalui promosi “Jom Bayar Cukai Taksiran MBSP 2023 dan Menang” yang berlangsung pada 1 Disember 2022 hingga 28 Februari 2023.

Azhar Arshad ketika mempengersikan Mesyuarat Penuh Majlis MBSP dekat Menara Bandaraya pagi tadi.

Manakala, Mahmud Shakir Abdullah dari Tasek Gelugor pula terpilih sebagai pemenang hadiah bonanza bagi promosi pembayaran melalui aplikasi ASPIRE Seberang Perai dan berjaya membawa pulang sebuah motosikal jenama WMoto VE110.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh sebelum itu memaklumkan bahawa pihaknya berjaya memperoleh nilai kutipan berjumlah RM117.28 juta melalui 191,459 transaksi sepanjang tempoh promosi berlangsung.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 81.96 peratus transaksi adalah dilakukan melalui kaedah tanpa tunai.

“Oleh itu, MBSP mengucapkan jutaan penghargaan kepada warga Seberang Perai yang telah menunaikan tanggungjawab untuk membayar cukai taksiran pada masa yang telah ditetapkan,” katanya.

Azhar berkata, melalui promosi yang dijalankan, MBSP telah mengenal pasti sebanyak 60,999 akaun layak menyertai cabutan bertuah kali ini manakala 12,741 akaun lagi layak untuk cabutan bonanza tajaan ASPIRE Seberang Perai.

“Semua pemenang yang berjaya akan dihubungi oleh MBSP melalui telefon, emel atau surat agi urusan tuntutan hadiah.

“Pemenang juga akan diminta untuk menetapkan temujanji dan urusan tututan perlu dibuat dalam tempoh masa ditetapkan kelak.

“Senarai nama-nama pemenang yang bertuah boleh disemak di laman web MBSP iaitu https://www.mbsp.gov.my mulai 29 Mac 2023,” jelasnya lagi.

Terdahulu, MBSP mengadakan promosi bayaran cukai taksiran khas kepada seluruh pemilik premis di Seberang Perai yang membuat pembayaran cukai taksiran setahun bagi tahun 2023 berserta tunggakan (jika ada) secara dalam talian, melalui aplikasi ASPIRE Seberang Perai, kioks atau agensi yang dilantik oleh MBSP.

Selain dua hadiah utama tersebut, MBSP turut menawarkan 40 hadiah cabutan bertuah yang lumayan seperti wang tunai bermula dari RM2,000 hingga RM8,888 serta pelbagai hadiah menarik yang lain.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS