Bazar Ramadan Kampung Melayu terbaik – ADUN

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai baru-baru ini mengadakan lawatan ke tapak Bazar Ramadan Kampung Melayu di sini bagi mengedarkan 200 paket bubur lambuk kepada pengunjung di bazar tersebut.

Serentak dengan lawatan itu, beliau sempat meluangkan masa melawat hampir 110 buah gerai di bazar berkenaan.

Selain memantau harga makanan, beliau turut menasihati para peniaga di bazar berkenaan untuk memastikan tahap kebersihan terjamin demi keselesaan dan keselamatan pembeli.

Menurutnya, Bazar Ramadan Kampung Melayu adalah antara bazar paling meriah dan paling banyak menyajikan juadah berbuka di Pulau Pinang.

“Selama enam tahun, saya masih merasakan Bazar Ramadan Kampung Melayu adalah yang terbaik dari segi kualiti makanan dan kepelbagaian juadah berbuka puasa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Serentak itu, beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri serta mengingatkan supaya berhati-hati di jalan raya apabila pulang beraya ke kampung halaman kelak.