‘Beacon Of Hope’ papar pengorbanan Bomba kepada masyarakat

Admin

GEORGE TOWN – Pengorbanan dan komitmen pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diabadikan menerusi sebuah lukisan mural pada dinding bersebelahan lorong Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai di sini.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa beliau juga berasa amat terharu apabila difahamkan bahawa anggota bomba yang terkorban semasa menjalankan tugas pengoperasian dan penyelamatan turut diabadikan menerusi lukisan berkaitan.

 

 

“Justeru, saya berharap lukisan serta inisiatif ini khasnya dapat menjadi pembakar semangat kepada anggota bomba lain untuk terus memberikan perkhidmatan lebih cemerlang kepada komuniti sekaligus kisah pengorbanan mereka juga dapat disampaikan kepada masyarakat umum khususnya mereka yang datang berkunjung di sini.

 

 

“Serentak itu, meskipun penghasilan mural ini memerlukan kos, masa dan ketelitian yang tinggi, namun saya percaya ia bukan satu usaha yang sia-sia kerana ia akan memberikan impak positif kepada aspek pelancongan dan apresiasi seni di negeri ini,” ujarnya ketika merasmikan mural ‘Beacon Of Hope’ sebentar tadi.

 

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota; Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar;  Timbalan Pengarah JBPM Pulau Pinang, Ts. Zulfahmi Sutahi; Ketua Pegawai Eksekutif The Learning Kingdom Education, Dr. Lee Eng Wah dan pelukis mural ‘Beacon Of Hope’, Tam Yaw Thyn.

 

 

Kon Yeow dalam pada itu turut memuji inisiatif The Learning Kingdom Education yang telah menggerakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan.

 

Tambah beliau, usaha serupa sepatutnya dijadikan contoh kepada organisasi atau badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk mengambil langkah bagi meneruskan inisiatif yang cukup murni tersebut sekaligus mencungkil bakat serta kreativiti anak-anak Pulau Pinang.

 

 

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak dan menyeru kepada semua untuk bersama-sama menjaga dan menghargai keindahan seni ini sekaligus menjadikan mural ‘Beacon of Hope’ ini sebagai simbol perpaduan, solidariti serta harapan kepada semua penduduk Pulau Pinang.

 

 

“Mengimbau sejarah, sebenarnya banyak agensi perkhidmatan awam bermula di Pulau Pinang seperti pasukan polis yang sudah berusia lebih 200 tahun, perkhidmatan pos, elektrik, pembentungan yang mana dahulunya terletak di bahu perkhidmatan Majlis Bandaraya.

 

 

“Setelah merdeka, semua perkhidmatan ini dipusatkan kepada agensi persekutuan maka Majlis boleh memusatkan kepada kerja-kerja perbandaran, dan ini menjadikan perkhidmatan lebih efisien dan membantu daripada segi ekonomi,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

 

 

Pada majlis sama, Saadon membawa Kon Yeow melawat mural sepanjang 100 meter yang memaparkan beberapa sejarah JBPM dalam pelbagai operasi menyelamat di Malaysia termasuk wira-wira yang terkorban semasa bertugas.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN

Video : DARWINA MOHD. DAUD