Beberapa jalan ditutup sempena Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019

Admin

GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memaklumkan bahawa beberapa laluan utama di sekitar George Town akan ditutup kepada semua jenis kenderaan bagi memberi laluan kepada program Family Fun Walk sempena Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019.

“Jalan Padang Kota Lama iaitu berhadapan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) City Hall dan Town Hall akan ditutup mulai jam 6.00 petang pada 21 Jun sehingga 1.00 pagi (24 Jun).

“Kedua, Jalan Lebuh Light bermula dari Jabatan Imigresen Pulau Pinang sehingga Bank Negara akan ditutup kepada trafik pada 23 Jun mulai jam 12:00 tengah hari sehingga 10:30 malam.

“Justeru, orang ramai dinasihati untuk memakir kenderaan di Jalan Tun Syed Sheh Barakhbah, Sekolah Menengah St. Xavier, Gereja St. George dan Gereja Catholic,” katanya pada sidang media khas di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Lip Chee turut memaklumkan bahawa Rapid Penang akan menyediakan perkhidmatan bas secara percuma di dua lokasi iaitu di Maybank Komtar dan Jeti Pulau Pinang pada jam 2:30 petang, 3:00 petang, 3:30 petang, 4:00 petang, 10:30 malam, 11.00 malam dan 12:00 tengah malam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal turut menyarankan kepada para peserta dan orang ramai yang mengunjungi karnival tersebut supaya membawa botol air minuman sendiri dan beg kitar semula bagi mengelakkan penggunaan beg plastik.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ALVIE CHENG