Bekalan daging babi sempena Tahun Baru Cina mencukupi – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri (kanan sekali) dan beberapa pemimpin lain diberi taklimat ringkas daripada Dr. Saira Banu Mohamed Rejab (kanan sekali) di Pusat Operasi Lapangan dekat Balai Raya Perkampungan Valdor di sini pada 19 Januari 2023.

BUKIT TAMBUN – Bekalan daging babi menjelang musim Tahun Baru Cina yang kian kunjung tiba bagi memenuhi keperluan rakyat adalah masih mencukupi sungguhpun wabak Demam Babi Afrika (ASF) setakat 19 Januari 2023 telah merebak ke 14 ladang di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) serta dua ladang lain masing-masing di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan SPU.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Pengarah Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Ketua Bahagian Kesihatan JPV Negeri Pulau Pinang, Dr. Nor Azhani Kamaruddin di Pusat Operasi Lapangan dekat Balai Raya Perkampungan Valdor dekat sini pada 19 Januari 2023.

Turut serta, Pegawai Daerah SPS, Marlia Mohd. Belia.

“Bekalan daging babi di negeri Pulau Pinang disahkan masih mencukupi untuk menampung keperluan rakyat terutamanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina ini.

“Ini adalah memandangkan masih terdapat ladang-ladang yang masih bebas penyakit ini.

“Daging babi di pasaran juga adalah selamat untuk dimakan memandangkan penyakit ini tidak berjangkit kepada manusia,” jelas Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Pun begitu, Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya mengaku penularan wabak tersebut telah memberi kesan berantai daripada sudut kepentingan ekonomi yang melibatkan para penternak di negeri ini.

Difahamkan, di Pulau Pinang terdapat 124 ladang ternak babi dengan jumlah ternakan sejumlah 267,000 ekor.

Setakat ini, kerja-kerja pelupusan binatang ternakan telahpun dilakukan membabitkan empat daripada 18 ladang di Pulau Pinang yang disahkan atau disyaki positif ASF.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah mengenal pasti sebidang tanah berkeluasan kira-kira 40 ekar untuk kerja-kerja pelupusan populasi babi yang dianggarkan kira-kira 44,000 ekor (daripada data bancian semasa JPV).

Sehingga malam tadi (18 Januari 2023), direkodkan, sejumlah 4,200 telah diluluskan oleh JPV yang melibatkan empat ladang positif ASF terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa beberapa penternak terbabit dalam satu majlis temu bincang semalam antara lain turut membangkitkan isu pampasan berwajib di sebalik kerja-kerja pelupusan ternakan babi di ladang-ladang mereka bagi memutuskan rantaian perebalan wabak ASF.

SAIRA Banu Mohamed Rejab

Menjawab soalan itu, Saira Banu berkata bahawa JPV negeri akan berusaha memohon serta mendapatkan pampasan sewajarnya daripada pihak Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Beliau menyatakan bahawa JPV Negeri akan memohon pampasan berjumlah RM800 seekor babi babi jenis ‘sow’, ‘boar’ dan ‘gilt’; RM400 seekor bagi jenis ‘porker’ dan tiada pampasan bagi jenis ‘weaner’ dan ‘piglet’.

“Kita (JPV Negeri Pulau Pinang) akan angkat permohonan pampasan ini ke ibu pejabat di Putrajaya (untuk dipertimbangkan seterusnya diluluskan).

“Babi yang telah mati (akibat ASF) atau ditemukan mati semasa operasi pelupusan, tidak akan dikira untuk diberi pampasan,” ujarnya sambil memberitahu bahawa bayaran adalah bergantung kepada keputusan peringkat Persekutuan.

Di samping itu, Saira Banu turut menjelaskan mengenai waktu pengoperasian semula di ladang-ladang ternakan babi yang telahpun selesai kerja-kerja pelupusan akibat wabak ASF.

“Bila ladang-ladang ternak babi terbabit boleh beroperasi semula, ianya bergantung pada bila wabak terakhir dikesan di Malaysia.

“Ini kerana, wabak ASF bukan sahaja dikesan di negeri Pulau Pinang, malah turut dikesan di utara negeri Perak.

“Di Pulau Pinang, dibenarkan operasi ternak semula apabila tidak ada wabak di ladang terakhir (positif ASF).

“Ladang-ladang yang telah selesai kerja-kerja vaksinasi, mesti ‘direhatkan’ sekurang-kurangnya tiga bulan…boleh ternak semula dengan biosekuriti yang begitu ketat dan juga secara ladang tertutup,” ulasnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NUR ATIKAH RAHMAT