Belacan Balik Pulau tembusi pasaran antarabangsa

Admin

KEBANYAKAN juadah tradisional masyarakat di Malaysia menggunakan belacan iaitu sebatian udang yang diawet sebagai penambah perasa dalam sesuatu masakan.

 

Di Pulau Pinang, bahan masakan tersebut menjadi antara produk makanan popular dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang
sehingga wujudnya beberapa perusahaan menghasilkan belacan.

 

Antara perusahaan belacan yang terkenal di negeri ini adalah belacan Hock Lee Manufacturer Sdn. Bhd. (Hock Lee) yang terletak di Pantai Acheh, Balik Pulau.
Justeru, Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI, sempat mendekati pemilik perusahaan tersebut, TOH TAT SOON dalam satu lawatan baru-baru ini.

 


Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, YEOH SOON HIN dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), TAN CHIEW CHOON turut menyertai lawatan tersebut.

 

Membuka bicara, Tat Soon memberitahu bahawa beliau merupakan generasi kedua menjalankan perniagaan yang diasaskan oleh bapanya sekitar tahun 1964.

 

“Perniagaan ini bermula dari bapa saya pada tahun 1964, dan 30 tahun lepas, saya mula menceburkan diri dalam bidang pembuatan belacan untuk menyambung legasi bapa.

 

“Belacan dipilih sebagai sumber pendapatan kerana kita semua tahu, banyak masakan di Malaysia bahkan Asia memang menggunakan belacan sebagai ramuan.

 

“Ada yang masukkan belacan dalam masakan kari, kuah laksa, kangkung goreng, ayam goreng, sambal dan banyak lagi,” ujarnya yang turut menjalankan aktiviti nelayan.

 

 

Pembuatan

 

Tat Soon menyatakan bahawa pembuatan belacan secara asasnya kelihatan mudah, namun untuk menghasilkan produk terbaik adalah memakan masa yang agak lama.

 

“Bahan asasnya iaitu udang perlu dikeringkan terlebih dahulu sehingga lima hingga enam jam selama dua minggu.

 

“Selepas itu, barulah udang boleh dicampur dengan air garam untuk dijadikan sebatian dengan menggunakan mesin sebelum diperam selama 45 hingga 60 hari.

 

“Komposisi yang digunakan adalah 70 peratus udang dan 30 peratus garam, dan tidak ada campuran bahan kimia lain selain garam sahaja,” jelasnya.
Tambah Tat Soon, pembuatan belacan yang dihasilkan oleh syarikatnya turut mendapat panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi
memastikan ia selamat untuk dijual.

Bagi menjamin aspek kebersihan pula, proses menjemur dan peraman belacan dilakukan di kawasan yang tertutup.

 

Tembusi pasaran luar

 

Belacan yang dibungkus menggunakan Cap Dua Udang tersebut bukan sahaja terkenal dalam kalangan peruncit di sekitar Pulau Mutiara malah turut menembusi pasaran antarabangsa seperti Australia, China dan Hong Kong.

 

“Restoran-restoran di sana (negara pengimport) pun sudah pandai guna belacan dalam masakan mereka terutamanya di China yang semakin popular dengan
ayam goreng belacan.

 

 

“Untuk pasaran dalam negara, kami biasanya hantar kepada pelanggan di Kuala Lumpur selain terdapat beberapa agen yang bertindak memasarkan belacan
saya,” ulasnya.

 

Harapan

 

Tat Soon sememangnya menzahirkan harapan agar satu hari nanti belacan keluaran syarikatnya mampu menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa.
“Kalau dalam negara pun sudah cukup baik, namun besar harapan saya untuk menerima lebih banyak permintaan dari luar negara.

 

 

“Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan barangan buatan Malaysia khususnya Pulau Pinang dan Balik Pulau,” katanya.

 

Bertanya mengenai legasi perniagaan, Tat Soon yang mempunyai anak tunggal tidak kisah sama ada anak lelakinya itu mahu meneruskan atau tidak.

 

“Saya bagi dia kebebasan, kalau dia mahu sambung itu satu perkara yang bagus, dan kalau tidak mahu pun saya tidak akan paksa.

 

“Mungkin dia mahu menceburkan diri dalam bidang lain yang lebih baik,” ujarnya menutup bicara.