Belanjawan 2023 Persekutuan perlu ‘lihat’ kepentingan projek LRT Pulau Pinang, kata responden

Admin
DR. Zaidi Zakaria
BERTAM – Belanjawan 2023 Persekutuan yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 Oktober dijadualkan akan dibentang tiga minggu lebih awal iaitu pada 7 Oktober ini.
Dalam tinjauan umum yang dibuat hari ini, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), MOHAMED YUSOFF MOHAMED NOOR, 58, berpendapat bahawa atas semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang dihebahkan oleh pentadbiran Perdana Menteri, inilah masanya untuk Kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan pembangunan mengikut keperluan sebenar rakyat Malaysia di negeri Pulau Pinang,
MOHAMED Yusoff Mohamed Noor

Peruntukan fiskal yang dimaksudkan, menurut Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Pulau Pinang itu lagi termasuklah berkaitan  projek transit aliran ringan (LRT) Fasa 1 dengan anggaran kos keseluruhannya berjumlah RM10 bilion.

“Sebagaimana diketahui umum, projek LRT Fasa 1 ini telahpun dikemukakan kepada UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri), Jabatan Perdana Menteri, tetapi tercicir dalam senarai 126 projek pembangunan yang dimohon oleh Kerajaan Negeri hari ini di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
“Saya harap Belanjawan 2023 Persekutuan ini melihat keperluan rakyat Malaysia di Pulau Pinang untuk sebuah jajaran LRT dari Komtar ke Bayan Lepas, walaupun ini ‘negeri pembangkang’,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI (jurugambar) di sini pada 7 September 2022.
KETUA Menteri dalam sidang media di Komtar pada 6 September 2022 antara lain dilaporkan LRT Komtar – Bayan Lepas sentiasa dalam senarai dan menjadi projek ‘wajib’ Pulau Pinang.

Semalam, Ketua Menteri Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow dilaporkan berkata bahawa pentadbirannya tidak akan berputus asa untuk melaksanakan projek LRT fasa 1 di Pulau Pinang sungguhpun permohonan projek infrastruktur awam tersebut telah beberapa kali ditolak peringkat Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut menegaskan bahawa projek LRT Fasa 1 itu merupakan antara projek wajib yang disenaraikan dalam bajet Persekutuan setiap tahun.
Tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong, projek LRT Fasa 1 tersebut merupakan dalam senarai 126 projek yang dikenal pasti serta telahpun dikemukakan oleh Kerajaan Negeri; dan tidak patut ‘tercicir’ dari radar pembangunan pada peringkat Kerajaan Persekutuan.
MOHD. Zamirul Mohd. Dzaki

Ahli akademik sebuah universiti swasta, MOHD. ZAMIRUL MOHD. DZAKI, 37, turut berpendapat bahawa Bajet 2023 Persekutuan seharusnya memberi tumpuan pada agenda pemerkasaan pengangkutan awam seperti projek LRT Fasa 1 yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Sepatutnya Kerajaan Persekutuan perlu fokus pada agenda memperkasakan sistem pengangkutan awam moden.
“Macam waktu musim cuti sekolah seperti sekarang, lambakan kenderaan di bahagian Pulau terutamanya meningkat secara ketara.
“Kalau Pusat bersetuju membiayai projek LRT Komtar – Bayan Lepas dan memperluas lagi jajaran pengangkutan awam moden berlandaskan rel termasuk ke bahagian Seberang Perai juga, ia sekali gus akan menyumbang pada usaha merealisasikan kempen ‘moving people, not car’,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa Bajet 2023 Persekutuan seharusnya memberi peruntukan bagi membolehkan sistem pengangkutan feri di Pulau Pinang kembali beroperasi seperti sebelum ini.
“Lagi satu, Kerajaan Persekutuan sebenarnya bukan ada kekangan kewangan pun untuk melaksanakan satu-satu polisi yang diperlukan rakyat.
“Justeru, elok dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi turut melihat cadangan mengembalikan semula perkhidmatan feri yang menjadi salah satu ikon pelancongan negeri Pulau Pinang.
“Feri, bukan sahaja akan mengangkut penumpang, malah kenderaan seperti motosikal, kereta dan sebagainya, ia sekali gus boleh merosotkan lambakan kenderaan atas Jambatan Pulau Pinang pada waktu puncak dan musim-musim percutian tertentu di negeri ini,” katanya lagi.
Nada sama turut dikongsi oleh seorang suri rumah sepenuh masa, NUSRAT MOHAMMAD, 40-an yang menyokong segala usaha memperkasakan sistem pengangkutan awam moden di Pulau Pinang terutama dekat bahagian Pulau.
“Kalau LRT (Fasa 1) itu tak boleh (mula dilaksanakan dalam belanjawan tahun hadapan), sekurang-kurangnya ada (peruntukan fiskal untuk mewujudkan) jalur bas yang lebih efisien terutama di bahagian Pulau.
“Kena ada sistem pengangkutan sokongan yang efisien, tak payah bertukar-tukar pengangkutan awam kerana nak elak kenderaan peribadi atas jalan raya.
“Tumpuan (program pemerkasaan sistem pengangkutan awam moden Persekutuan di Pulau PInang ini) harus menumpu di dalam kawasan bandar raya (George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO),” jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Pusat juga wajar memperbaiki lagi sistem pengangkutan awam sokongan di kawasan luar bandar termasuk Daerah Barat Daya, demi memaksimumkan penggunaan sistem pengangkutan awam moden di kawasan tumpuan sekitar bandar raya.
Tanpa menafikan peri penting memperkasa lagi sistem pengangkutan awam moden termasuk membina projek LRT Fasa 1, bagi pakar kanak-kanak sebuah hospital swasta, DR. ZAIDI ZAKARIA pula memberitahu bahawa Belanjawan 2023 Persekutuan sewajarnya memberi tumpuan pada membina lebih banyak lagi rumah mampu milik (RMM) untuk kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) terutama sekitar kawasan luar bandar di Pulau Pinang.
“Di Penang ini, lebih penting adalah perumahan di kawasan luar bandar.
“Di bandar, masalah (perumahan) tidak seruncing di kawasan luar bandar.
“Jadi bagi saya, (belanjawan tahun hadapan) perlu tumpu pada program perumahan yang lebih kritikal di Pulau Pinang,” jelasnya lagi.