GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited dalam memperkasa pembangunan agama Islam dengan memfokuskan kepada projek pembinaan lebih banyak masjid di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam terhadap kemudahan ibadah yang kondusif serta selamat.
Beliau berkata, usaha membangunkan masjid dilaksanakan melalui peruntukan kewangan tahunan, bantuan penyelenggaraan, pembangunan prasarana serta sokongan terhadap aktiviti dakwah dan pendidikan di masjid seluruh negeri.
“Komitmen ini dibuktikan melalui peruntukan dan perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi setiap projek pembinaan dan pengubahsuaian masjid serta surau di negeri ini bagi tempoh 2023 hingga 2025.
“Pada tahun ini, lima masjid telah siap dibina iaitu Masjid Papan, Masjid Taman Sungai Dua Utama, Masjid Bandar Cassia, Masjid Sungai Kechil Nibong Tebal dan Masjid Mengkuang Titi dengan jumlah komitmen Kerajaan Negeri sebanyak RM9.8 juta.
“Selain itu, Masjid Bandar Putra Bertam juga dijangka siap pada tahun ini dengan jumlah peruntukan RM2 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Tahun 2026 di Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.
Menurut Kon Yeow, tiga lagi masjid masih lagi dalam proses pembinaan yang dijangka siap pada tahun 2026 dan 2027.
“Projek ini melibatkan Masjid Lama Sungai Bakap dengan kos RM6 juta, Masjid Cheruk Tok Kun Bawah (RM4.5 juta) dan Masjid Permatang Tinggi (RM3.5 juta).
“Kerajaan Negeri juga merancang membangunkan sebuah Masjid Bandaraya di tapak Smart City Campus, Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) di Bnadar Cassia.
“Pada tahun ini, Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang sedang melaksanakan kerja-kerja awalan yang meliputi siasatan tanah serta penyediaan reka bentuk masjid bagi projek ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga memberikan keutamaan kepada pembangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR).
“Keseluruhan kos pembinaan dua buah SAR adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang membabitkan Madrasah Al-Ittihadiyah Al-Wataniyah, Cherok Tok Kun dekat Seberang Perai Tengah (SPT) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.85 juta.
“Kerajaan Negeri juga membelanjakan RM4.01 juta bagi pembinaan SAR Masjid, Seberang Perai Utara (SPU) di Telok Air Tawar.
“Selain itu, tiga lagi SAR masih berada dalam fasa pembinaan melibatkan Madrasah An-Najah, Kampung Selamat, SPU, SAR Nurul Falah, Taman Berjaya, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) dan SAR Masjid Bandar Baru Ayer ltam dalam Daerah Timur Laut (DTL) dengan kos keseluruhan berjumlah RM15.07 juta,” jelasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD