GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) sebanyak 0.75 gaji dengan bayaran minimum RM1,000 kepada seramai 3,954 penjawat awam negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa BKK itu akan dibuat pada Disember 2025 melibatkan unjuran implikasi kewangan sebanyak RM11.49 juta.
“Maka, sebagai apresiasi kepada seluruh Anggota Perkhidmatan Awam negeri, sukacita saya umumkan BKK sebanyak 0.75 bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Tahun 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.
Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju menyalurkan RM300 secara one-off kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA), guru serta kakitangan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)
“Pemberian ini turut dipanjangkan kepada guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan Sekolah Persendirian Cina dengan jumlah keseluruhan adalah seramai 3,358 orang,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD