Belia ASEAN dipelawa perkasa ekonomi kreatif menerusi warisan budaya

Admin
img 20260709 wa0045

SEBERANG JAYA – Program SUKASENI Youth Craft for ASEAN (YOCA) Bootcamp Penang 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau apabila menghimpunkan golongan kreatif muda, penggiat budaya, usahawan serta pemimpin belia dari seluruh ASEAN.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, penganjuran YOCA bukan sekadar menyediakan ruang latihan kepada peserta, malah menjadi jambatan yang menghubungkan belia merentasi sempadan negara bagi memupuk persefahaman, kerjasama dan inovasi berasaskan identiti budaya.

Menurut beliau, penyertaan belia dari pelbagai negara ASEAN membuktikan peranan penting generasi muda dalam membentuk masa depan ekonomi kreatif dan industri budaya di rantau ini.

“Program seperti YOCA bukan sekadar platform latihan, malah berperanan sebagai jambatan kerjasama yang menghubungkan anak-anak muda merentasi sempadan negara, memupuk persefahaman bersama serta menyemai inovasi yang berteraskan identiti budaya,” katanya ketika merasmikan program berkaitan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh, dekat sini sebentar tadi.

img 20260709 wa0048img 20260709 wa0049

Turut hadir, Pengasas dan dan Pengerusi YOCA, Mr. Raffy Syazwan Arpandi; pereka fesyen, Kel Wen dan penggaya fesyen, Abu Shaef Hamza.

Mengulas tema “Fashion Passion”, Hon Wai berkata, fesyen bukan sekadar produk komersial, sebaliknya merupakan manifestasi budaya yang mencerminkan identiti, warisan serta keunikan sesebuah masyarakat.

Beliau turut mengetengahkan kebaya sebagai simbol warisan budaya yang mempunyai nilai tinggi di Asia Tenggara kerana melambangkan keanggunan, hasil pertukangan halus serta identiti masyarakat serantau.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Malaysia bersama Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand telah mengemukakan pencalonan bersama kebaya untuk disenaraikan dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sekali gus mencerminkan semangat kerjasama negara-negara ASEAN dalam memelihara warisan budaya bersama.

Pada masa sama, beliau memaklumkan batik Indonesia telah menerima pengiktirafan UNESCO pada tahun 2009, manakala di Pulau Pinang, permohonan pengiktirafan Kasut Manik Nyonya sebagai Warisan Negeri kini sedang dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pakar.

img 20260709 wa0047img 20260709 wa0050

Menurut Hong Wai, perkembangan tersebut membuktikan budaya bukanlah faktor yang memisahkan masyarakat, sebaliknya menjadi jambatan yang menyatukan rakyat serta mengukuhkan persefahaman dan persahabatan di rantau ASEAN.

Beliau berkata, sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang kaya dengan warisan pelbagai budaya, Pulau Pinang akan terus menyokong usaha memelihara tradisi sambil memperkasakan inovasi melalui pembangunan ekonomi kreatif.

“Kerajaan Negeri melihat ekonomi kreatif bukan sahaja sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, malah sebagai kekuatan budaya yang membentuk identiti serta memperkukuh sektor pelancongan.

“Kebaya, misalnya terus menjadi sumber inspirasi kepada pereka fesyen dan penggiat seni kontemporari, sekali gus membuka peluang baharu dalam bidang ekspresi kreatif, pelancongan budaya dan keusahawanan belia,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Mengakhiri ucapannya, Hon Wai menyeru semua peserta agar memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang bootcamp tersebut dengan menimba ilmu, bertukar idea, membina rangkaian kerjasama serta mengeratkan persahabatan merentasi sempadan negara.

“Para peserta bukan sahaja mewakili negara masing-masing, malah berperanan sebagai duta yang bakal mencorakkan masa depan ekonomi kreatif ASEAN,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS