SEBERANG JAYA – Golongan belia perlu berani menyuarakan pandangan, menyumbang idea dan bersedia memikul tanggungjawab dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri, bukan sekadar menjadi pemerhati terhadap perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, penglibatan golongan muda dalam proses pentadbiran dan pembuatan dasar penting bagi melahirkan generasi pemimpin yang matang, berwawasan serta memahami keperluan rakyat.
Menurutnya, pendedahan menerusi Program A Day As A City Councillor 2026 memberi peluang kepada Ahli-Ahli Sidang Muda Pulau Pinang memahami dengan lebih dekat peranan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk hubungan antara dasar yang dibincangkan dengan pelaksanaannya serta kesannya terhadap kehidupan masyarakat.
“Dalam dunia yang semakin berubah, kita perlu lebih terbuka mendengar suara anak muda.
“Perbezaan pandangan antara generasi mampu membuka ruang kepada pendekatan dan penyelesaian yang lebih baik.
“Kita tidak boleh bergantung pada pengalaman sendiri semata-mata, sebaliknya perlu memberi ruang kepada golongan muda untuk menyumbang idea dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program A Day As A City Councillor 2026 di Auditorium Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli-Ahli Majlis MBSP serta barisan Ahli Sidang Muda Pulau Pinang 2026.



Mooi Lye berkata, pengalaman dalam Sidang Muda sebelum ini memberi ruang kepada golongan belia mengenali proses perbahasan dan pentadbiran negeri, manakala pendedahan bersama MBSP membolehkan mereka memahami dengan lebih jelas realiti pelaksanaan dasar di peringkat kerajaan tempatan.
“Saya berharap saudara dan saudari melihat Sidang Muda ini sebagai satu permulaan untuk terus melibatkan diri dalam pembangunan negeri, bukan sekadar pengalaman menjadi ‘Ahli Majlis sehari’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kepimpinan bukan hanya berkaitan keberanian menyuarakan pandangan, malah menuntut kematangan dalam mengurus perbezaan pendapat serta kesediaan mendengar kebimbangan masyarakat.
Katanya, sesuatu perubahan mungkin mendapat sambutan daripada satu kelompok, namun pada masa sama menimbulkan kebimbangan kepada pihak lain.
Justeru, pemimpin perlu bersedia mendengar, memberikan penjelasan secara tertib dan mempertimbangkan pandangan semua pihak bagi membina kepercayaan masyarakat.
Beliau turut menasihatkan golongan muda supaya membiasakan diri menyemak kesahihan maklumat sebelum membuat kesimpulan, membezakan pandangan peribadi daripada fakta serta bersikap adil ketika membincangkan sesuatu isu.
“Suara kita akan lebih dihormati apabila disampaikan dengan pengetahuan, keadilan dan rasa tanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengalaman yang diperoleh menerusi program berkenaan dapat diteruskan melalui penglibatan dalam persatuan, kerja sukarela dan aktiviti komuniti agar golongan muda dapat membina kemahiran kepimpinan serta memahami tanggungjawab terhadap masyarakat.
Mooi Lye berkata, program seumpama itu berpotensi menjadi titik permulaan kepada pembentukan pemimpin masa hadapan, termasuk mereka yang mungkin suatu hari nanti berkhidmat sebagai Ahli Majlis atau wakil rakyat.
Menurutnya, setiap individu mempunyai perjalanan tersendiri, namun kesediaan untuk terus belajar, keberanian memikul tanggungjawab dan komitmen mengutamakan kepentingan rakyat perlu menjadi pegangan utama.
Beliau berharap program berkenaan dapat melahirkan generasi muda yang matang dalam membuat pertimbangan, menghormati kepelbagaian pandangan serta bersedia menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Kepimpinan masa hadapan tidak bermula apabila seseorang diberikan jawatan, sebaliknya bermula apabila dia memilih untuk mendengar suara rakyat, memahami keperluan masyarakat dan berani mengambil tanggungjawab untuk membawa perubahan,” katanya.
Sementara iru, Zi Sen berkata bahawa kerjasama strategik antara Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan MBSP menerusi program tersebut membuka ruang kepada golongan belia memahami secara langsung fungsi, peranan dan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, kerjasama itu amat bermakna kerana merupakan kali pertama PYDC bekerjasama dengan MBSP bagi memberikan pendedahan secara langsung kepada Ahli-Ahli Sidang Muda Pulau Pinang 2026 mengenai operasi pentadbiran kerajaan tempatan.
Menurutnya, peluang berkenaan bukan sekadar pengalaman baharu kepada peserta, malah menjadi platform pembelajaran penting untuk memahami bagaimana keputusan pentadbiran dibuat dan kesannya terhadap kehidupan seharian rakyat.
“Kita sering membincangkan pembangunan negeri, dasar kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
“Namun, kita juga perlu memahami bahawa pihak berkuasa tempatan merupakan antara institusi pentadbiran yang paling dekat dengan kehidupan masyarakat.
“Isu seperti kebersihan, pengurusan sisa, penyelenggaraan jalan raya dan kemudahan awam merupakan perkara harian yang memerlukan perancangan, komitmen serta tindakan berterusan,” katanya.
Zi Sen berkata, pendedahan secara langsung itu membolehkan peserta melihat sendiri bagaimana MBSP menjalankan tanggungjawabnya, di samping memahami cabaran sebenar dalam memastikan perkhidmatan perbandaran memenuhi keperluan masyarakat.
“Pemahaman terhadap pentadbiran kerajaan tempatan penting dalam membentuk golongan belia yang bukan sahaja mempunyai kesedaran sivik, malah mampu menyumbang idea secara konstruktif kepada pembangunan negeri.
“Diharapkan pengalaman ini menjadi titik permulaan kepada penglibatan belia yang lebih bermakna dalam pembangunan komuniti, sekali gus melahirkan generasi pemimpin yang memahami realiti pentadbiran dan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat,” ujarnya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MBSP