Belia diharap beri sumbangan kepada masyarakat, corak pembangunan negeri

PENAGA – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berharap kumpulan sukarelawan belia di Pulau Pinang terus memberi sumbangan dan impak kepada masyarakat.

Jelasnya, dengan tenaga, idea baharu, serta kreativiti yang ada, beliau percaya sukarelawan belia di Pulau Pinang mampu mencorakkan pembangunan Pulau Pinang di masa hadapan.

“Saya berharap anda semua akan terus aktif dalam program sukarelawan belia ini agar terus dapat memberi sumbangan berguna kepada masyarakat di luar sana.

“Seperti anda semua ketahui, objektif utama penganjuran Youth Volunteer Team Building ini adalah untuk memupuk semangat berpasukan dan daya kepimpinan anak muda demi pembangunan dan kesejahteraan Pulau Pinang kelak,” ujar Lip Chee ketika berucap pada Program Youth Volunteer Team Building bertempat di Kampung Agung, Penaga baru-baru ini.

Selain itu beliau berharap, program tersebut mampu melahirkan belia sukarelawan belia Pulau Pinang yang berdedikasi dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat, meningkatkan semangat patriotik di samping membina platform antara masyarakat.

Program tersebut dihadiri seramai 40 orang belia merangkumi aktiviti seperti station game, menyiapkan inspirasi seni logo Youth for Future, membina struktur gajet dan persembahan berkumpulan.

Difahamkan sukarelawan belia Pulau Pinang dibahagiakan kepada tujuh kategori iaitu alam sekitar, pendidikan, kerja amal, bencana alam, pertolongan cemas, seni budaya dan sukan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD