Belia dipelawa sertai Bengkel Demokrat Muda 2.0 2019

Admin

GEORGE TOWN – Belia di Pulau Pinang yang berumur 15 hingga 25 tahun dipelawa untuk menyertai Bengkel Demokrat Muda 2.0 2019 yang akan diadakan pada 5 hingga 7 Julai depan di Safira Sports Club.

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, bengkel tersebut adalah satu platform yang bermatlamat untuk memupuk bakal pemimpin negara dalam kalangan belia.

“Bengkel Demokrat Muda merupakan satu program tahunan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) yang diadakan sejak tahun 2016 untuk memperkenalkan belia dengan konsep demokrasi dan tadbir urus negara secara teori mahupun praktikal.

“Melalui program ini pemuda dan pemudi dapat menambah keyakinan diri mereka kerana mempunyai satu platform yang bagus untuk membahas dan menyuarakan hasrat mereka.

“Dengan itu, kita dapat memastikan suara anak muda akan lebih diperhatikan dalam setiap proses keputusan kerajaan di semua peringkat sama ada negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa,” ujar Lip Chee dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh dan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Menurut Lip Chee, penyertaan adalah terhad kepada 100 orang sahaja dan 30  peserta terbaik akan dipilih untuk menyertai Sidang Muda 2019 (Kebangsaan)  yang bakal berlangsung pada 24 dan 25 Ogos 2019.

“Bagi peserta berumur 15 hingga 17 tahun, mereka turut akan dimasukkan markah kokurikulum sebaik sahaja tamatnya program ini,” ujar Lip Chee yang juga Pengerusi Lembaga PYDC.

Bagi belia yang ingin menyertai Bengkel Demokrat Muda ini, peserta akan dikenakan deposit sebanyak RM50 dan akan dikembalikan pada penghujung program. Borang menyertaan boleh didapati di laman Facebook PYDC atau menghubungi PYDC di talian 012-4010186.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN