Belia diseru serlahkan bakat melalui inisiatif ‘Best! Anak Penang’

Admin

GEORGE TOWN – Golongan belia di negeri ini diseru agar menyerlahkan bakat masing-masing melalui ‘Best! Anak Penang – Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang (SIKBMPP).

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa SIKBMPP dilancarkan oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) pada 7 Januari 2021 sebagai pemacu bagi menggerakkan lagi pembangunan modal insan di negeri ini.

“SIKBMPP diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang semasa ucapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam Belanjawan 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun 2021.

“Inisiatif ini diwujudkan bagi meraikan kecemerlangan dan pencapaian belia bermula dari umur 15 hingga 30 tahun bukan sahaja dari segi akademik, malahan juga melalui aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Dalam pada itu, ia juga sebagai satu simbol keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap golongan belia yang berjaya melakar sejarah sekali gus mengharumkan nama negeri Pulau Pinang,” ucapnya pada sidang media mengenai insentif berkenaan dekat Komtar di sini pada 7 Januari 2022.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling; Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektoral) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Muhamad Husni Mahmud dan wakil ADUN Bukit Tengah.

Dalam sesi yang sama, Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal turut memaklumkan bahawa permohonan SIKBMPP kini dibuka mengikut syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

“Permohonan terbuka kepada semua belia yang berwarganegara Malaysia dan merupakan anak jati Pulau Pinang atau bermastautin sekurang-kurangnya selama tiga tahun, serta turut memperoleh tempat pertama dalam pertandingan yang dianjurkan dari 1 Januari 2022.

“Perlu diingatkan bahawa SIKBMPP ini dilaksanakan secara ‘first come, first serve’ iaitu diberikan mengikut kumpulan dan permohonan boleh dilakukan secara terus di laman web rasmi PYDC,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut mempromosikan skim tersebut melalui pemberian poster ke pejabat ADUN dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) bagi menggalakkan lagi golongan belia untuk mengambil bahagian.

Sementara itu, Sai Ling turut menerangkan mengenai kategori pemberian SIKBMPP dan syarat kelayakan yang lebih terperinci serta cara-cara permohonan.

“SIKBMPP terbahagi kepada empat kategori iaitu skim individu yang bernilai RM300 hingga RM1,000 manakala empat kategori skim pasukan yang bernilai RM800 hingga RM3,000 terbuka kepada belia yang berkelayakan seperti dinyatakan.

“Di samping itu, bagi kejohanan peringkat kebangsaan pula perlu melibatkan lima negeri bertaraf kebangsaan atau kejohanan peringkat antarabangsa yang dipertandingkan sekurang-kurangnya disertai oleh tiga buah negara yang diiktiraf agensi kerajaan atau badan-badan profesional,” katanya sambil menekankan bahawa tiada tarikh tutup bagi membuat permohonan.

Untuk makluman lanjut, sila layari laman web PYDC di https://pydc.com.my/bestanakpenang/

Teks & Gambar: NUR ASHIKIN ISMAIL