Belia jadi jambatan perpaduan, Menteri puji Pulau Pinang manfaatkan RM800,000 Dana Sukan Komuniti

Admin
img 5977 ACARA pentas sempena berlangsungnya majlis penutupan Sambutan Hari Belia Negara dan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, di sini, semalam.

SEBERANG JAYA – Golongan belia di negara ini diseru untuk menjadi ejen perpaduan serta jambatan penyatuan masyarakat bagi menangkis retorik perkauman sempit dan sebarang anasir perpecahan yang boleh menggugat keharmonian negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari berkata, anak muda perlu memainkan peranan lebih besar sebagai penghubung antara kaum, bangsa dan agama demi memastikan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara terus diperkukuh.

img 5974
DANIEL Gooi Zi Sen (depan, dua dari kiri) menyantuni Dr. Mohamed Taufiq Johari (depan, tiga dari kiri) semasa menyertai majlis penutupan Sambutan Hari Belia Negara dan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Sambutan Hari Belia Negara dan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, di sini, semalam.

“Kita (Kementerian Belia dan Sukan, KBS) nak anak muda yang jadi jambatan penghubung antara kaum, bangsa dan agama, jadilah jambatan perpaduan negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.

Menurut beliau, Hari Belia Negara yang disambut pada setiap 15 Mei sejak tahun 1964 merupakan simbol penghargaan tertinggi negara kepada golongan belia yang berada dalam lingkungan usia 15 hingga 30 tahun.

Tambah beliau, KBS menyasarkan seramai 1.15 juta belia termasuk 80,000 dari Pulau Pinang untuk menyertai Sambutan Hari Belia Negara 2026 di seluruh negara.

Katanya, tema ‘Menggerak Belia Madani’ yang diangkat pada tahun ini membawa mesej jelas bahawa golongan belia tidak boleh sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan yang berlaku di sekeliling mereka, sebaliknya perlu tampil sebagai penggerak kepada perubahan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mohamed Taufiq berkata, KBS memperuntuk sebanyak RM1.406 juta menerusi pelbagai bentuk bantuan dan dana strategik bagi memperkukuh pembangunan belia dan sukan di Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

Peruntukan tersebut merangkumi Geran Padanan Sukan (GPS) berjumlah RM500,000, Dana Sukan Komuniti (DSK) sebanyak RM800,000 serta Bantuan Kepada Pertubuhan Belia berjumlah RM106,000.

Beliau turut memuji pentadbiran Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen atas prestasi cemerlang dalam menyalurkan sepenuhnya Dana Sukan Komuniti berjumlah RM800,000 seawal Jun tahun ini.

Menurutnya, kecekapan pengurusan dana oleh pejabat Exco berkenaan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam memastikan manfaat peruntukan kerajaan dapat disalurkan dengan cepat kepada masyarakat dan komuniti setempat.

“InsyaAllah, melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), saya bersetuju untuk menambah lagi Dana Sukan Komuniti untuk negeri Pulau Pinang.

“JBSN akan mengemukakan permohonan dan insyaAllah saya bersetuju untuk negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa KBS sebelum ini telah meluluskan Geran Padanan Sukan Jendela 1 dan Jendela 2 berjumlah RM500,000 untuk Pulau Pinang.

Sementara itu, Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan KBS dalam usaha memperkasa pembangunan belia dan sukan di negeri ini.

Menurut beliau, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan lebih banyak program pembangunan belia serta aktiviti sukan komuniti dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Vincent Tan Chor Lim turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Dato’ Kamarul Haizal Koderat; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin; Timbalan Pengarah JBSN Pulau Pinang, Mohd. Nadzri Mohd. Khairuddin; serta Timbalan Rektor (Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni) UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, Prof. Madya Ts. Dr. Kay Dora Abd. Ghani.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa sambutan yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk festival makanan, acara selawat, larian ria, pertandingan e-sukan, sesi dialog, liga sukan warga emas, bengkel literasi kewangan, pertandingan solekan, pameran agensi, konsert, cabutan bertuah serta penyampaian anugerah belia dalam pelbagai kategori.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB