Pengiktirafan MIP bukti Maimunah cemerlang

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif yang menerima anugerah Planner of The Year daripada Malaysian Institiute of Planners (MIP) baru-baru ini menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut adalah berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam sektor perancang bandar sebelum ini.

Katanya, pencapaian tersebut adalah ekoran beberapa kejayaan sepanjang menjalankan proses merancang bandar bagi wilayah Seberang Perai.

“Antara kriteria dinilai MIP adalah mengiktiraf perancang bandar yang menunjukkan kepimpinan berwawasan dan mampan, kepimpinan jelas, fokus, kualiti tinggi inovasi dan cemerlang, perancangan bandar global, menyahut cabaran dan kehendak persekitaran global serta punyai kemahiran serta teknik keputusan cemerlang dalam perancangan,” ujarnya pada sidang media baru-baru ini di sini.

Turut sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Majlis penganugerahan tersebut berlangsung di Kuala Lumpur pada 12 September lalu dan disempurnakan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Maimunah, pengiktirafan tersebut bukanlah satu proses yang diminta-minta, tetapi MIP yang menilai sendiri.

“Penilaian ini bukan perlu mengisi borang permohonan atau apa-apa, tetapi ia adalah penilaian sendiri MIP melalui panel-panel yang bertauliah dan berkepakaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa pemilihan Maimunah sebagai pemimpin MPSP menunjukkan ianya bukan satu lantikan yang salah kerana beliau mampu memacu MPSP ke satu tahap terbaik.

“Sebab itu juga, kita (Kerajaan Negeri) yakin untuk memberikan kepada Maimunah tiga kenaikan pangkat sekali gus sebelum ini ekoran kebolehan beliau dalam menjadikan MPSP sebuah badan pihak berkuasa tempatan yang cemerlang dan merealisasikan hasrat-hasrat Kerajaan Negeri,” ujar Guan Eng.