Bengkel lukisan kartun cungkil bakat si cilik

BAGAN DALAM – Seramai 25 kanak-kanak mengambil bahagian dalam bengkel lukisan kartun (Cartoon Workshop) anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam.

Kanak-kanak menerima sijil sempena majlis graduasi bengkel lukisan.

Bengkel berkenaan merupakan salah satu pengisian di bawah pelan Butterworth Baharu bagi menghidupkan kembali bandar Butterworth sebagai bandar seni dan berinovatif.

ADUN Bagan Dalam, M. Satees berkata, tujuan penganjuran bengkel berkenaan adalah untuk mencungkil bakat terpendam dalam kalangan kanak-kanak sejak dari awal.

“Biasanya ibu bapa akan minta anak-anak untuk dapatkan lebih banyak ‘A’, tapi selain jumlah ‘A’ bakat lain juga seperti dalam seni lukis, muzik, sukan dan sebagainya harus dicungkil.

“Sebab itu, ibu bapa dinasihati untuk tidak terlalu mengongkong anak-anak sebaliknya perlu memberi ruang kepada mereka untuk menunjukkan bakat lain yang masih terpendam.

“Justeru, bengkel yang dianjurkan boleh dijadikan sebagai platform awal untuk si cilik ini menyerlahkan bakat mereka.

“Bengkel melukis kartun hanya permulaan kerana pada tahun depan akan ada lebih banyak bengkel akan dianjurkan yang memerlukan sokongan padu daripada ibu bapa,” katanya semasa penyampaian sijil sempena Majlis Graduasi Bengkel Melukis Kartun dekat Section C, Jalan Bagan Luar, di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), K. Kumaran; David Marshel dan Jason Raj; Pengurus Besar C-Section Creative Community Centre, Zaini Zainul; pengendali program, Minqi Cheah serta para ibu bapa.

Difahamkan, pelukis karikatur terkenal Azmi Hussin diberi tanggungjawab selaku tenaga pengajar bagi program berkenaan yang berjalan selama empat minggu.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF