Bengkel Mud Ball disemai di sekolah

TEOH Seang Hooi (depan, tiga dari kanan) bersama Pengetua SMK Methodist nibong Tebal, Aini Mohamad Yacob (depan, empat dari kanan), para guru dan pelajar membuat adunan mud ball bersempena majlis pelancaran Bengkel Mud Ball di sini baru-baru ini
TEOH Seang Hooi (depan, tiga dari kanan) bersama Pengetua SMK Methodist nibong Tebal, Aini Mohamad Yacob (depan, empat dari kanan), para guru dan pelajar membuat adunan mud ball bersempena majlis pelancaran Bengkel Mud Ball di sini baru-baru ini

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

NIBONG TEBALBagi membentuk tahap kesedaran cintakan bumi, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) terus komited mempromosikan program pembuatan mud ball di sini.

Terbaru, MPSP bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Nibong Tebal bagi menganjurkan Bengkel Mud Ball kepada para pelajar sekolah berkenaan.

Ahli Majlis MPSP, Teoh Seang Hooi berharap kempen mud ball yang dianjurkan dapat ‘menghidupkan’ semula ikan-ikan dan hidupan air lain di dalam sungai.

“Kita hanya ada sebuah planet bumi yang kita mesti hargai kerana ia merupakan anugerah dari Tuhan,” katanya ketika hadir pada Majlis Pelancaran Bengkel Mud Ball di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, MPSP menerima penyertaan dari 52 buah sekolah bagi projek Anugerah Sekolah Hijau anjuran Kerajaan Negeri dan projek Zero Waste (5 sekolah). Sekolah-sekolah berkenaan bakal dinilai dan pemenang diumumkan pada bulan November ini.

Mud ball dihasilkan daripada campuran cecair EM (Effective Microorganism), dedak dan tanah merah bagi membersihkan sungai, tasik dan laut daripada bahan kumbahan dan lendir.