Peruntuk RM215,000 sempena Ihya’ Ramadhan 2012

Admin
ZAKARIA Md. Noor (kanan sekali) berjabat tangan dengan Ketua Menteri sambil diperhatikan Mansor Othman (tengah), Abdul Halim Hussain (dua dari kiri) dan Rosli Jaafar (dua dari kanan) pada majlis sumbangan Ramadhan kepada masjid-masjid Seberang Perai di sini baru-baru ini
ZAKARIA Md. Noor (kanan sekali) berjabat tangan dengan Ketua Menteri sambil diperhatikan Mansor Othman (tengah), Abdul Halim Hussain (dua dari kiri) dan Rosli Jaafar (dua dari kanan) pada majlis sumbangan Ramadhan kepada masjid-masjid Seberang Perai di sini baru-baru ini

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYAKerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukan RM215,000 untuk diagihkan kepada masjid-masjid di negeri berkenaan sempena Ihya’ Ramadan 2012. RM5,000 disalurkan kepada Masjid Negeri, masjid-masjid daerah masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 untuk semua masjid kariah.

Itu tidak termasuk enam masjid yang dipilih menerima RM5,000 sumbangan khas daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

“Saya difahamkan Ramadhan adalah bulan mendidik rohani. Sumbangan ini diharap dapat membantu pihak masjid melahirkan masyarakat yang memiliki kesederhana tulen, jujur, amanah serta ikhlas bersama-sama Kerajaan Negeri mengeratkan silaturrahim dalam kalangan orang-orang Islam dan bukan Islam,” ujar beliau dalam Kempen Kibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian sumbangan Ramadhan kepada masjid-masjid Seberang Perai diadakan serentak dengan kempen yang disempurnakan Ketua Menteri. Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Profesor Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Datuk Abdul Halim Hussein (Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang), Datuk Abdul Malik Abu Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar antara dif kehormat yang hadir.

Dalam pada itu, Zakaria Md. Noor, 53, Bendahari Masjid Jamek Batu Kawan – salah satu dari enam masjid terpilih – yang ditemui kemudian merakamkan penghargaan kerana masjid karyahnya dipilih menerima sumbangan RM5,000.

“Yang ini adalah yang terbesar daripada PDC. Saya berasa bersyukur kerana sumbangan ini bakal mengurangkan beban mencari sumber sempena persiapan bulan puasa ini,” ujar beliau ketika ditemui di sini baru-baru ini.