GEORGE TOWN – Beras cap Feri akan memasuki pasaran pada bulan Disember ini melalui Jualan Agro Madani (JAM) Peladang.
Menurut Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol, bekalan beras tersebut adalah kelas import dan paling murah bagi kategorinya.
“Untuk permulaan ia akan dijual melalui JAM Peladang pada harga RM15 untuk lima kilogram (kg).
“JAM Peladang ini akan diadakan sebanyak tiga kali dalam bulan Disember ini cuma tarikhnya akan dimaklumkan kelak.
“Walau bagaimanapun tiada lagi beras cap Feri untuk 10 kg kerana kita baru peringkat permulaan,” ujar Fahmi ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pagi tadi.
Dalam menangani ketiadaan beras tempatan pula, jelas Fahmi, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) setempat.
“Kerjasama tersebut meliputi pemasaran beras di Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum dihantar ke luar negeri.
“Dalam memperkasakan langkah ini, kita akan cuba berbincang dengan PPK untuk dapatkan hasil padi 100 peratus untuk pemasaran dalam negeri.
“Hasil kita dalam 50 hingga 60 peratus (beras Pulau Pinang)…memang dipasarkan pada peringkat tempatan (negeri), lebih daripada itu dijual di luar Pulau Pinang,” tambahnya lagi.
Ketika sesi penggulungan perbahasan, Fahmi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Projek Solusi Penggalak Fotosintesis secara menyeluruh untuk sawah padi di negeri Pulau Pinang.
“Teknologi penggalak fotosintesis ini digunakan untuk meningkatkan kecekapan fotosintesis tumbuhan, membolehkan tanaman seperti padi menyerap lebih banyak karbon dioksida (CO2) dan mengeluarkan lebih banyak hasil padi.
“Teknologi ini telahpun diuji dan menunjukkan peningkatan sebanyak 15 hingga 40 peratus dalam hasil pengeluaran padi,” katanya.
Menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Mohd. Sobri Salleh, Fahmi memberitahu bahawa untuk merangsang penternakan ruminan di Pulau Pinang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menyampaikan bantuan pakej dedak dan batu garam kepada 405 penternak lembu dan kambing di seluruh Pulau Pinang sekali gus melibatkan nilai peruntukan sebanyak RM87,330.
“Setiap penternak ruminan besar telah menerima pakej bantuan yang bernilai RM426.
“Sementara itu, bagi penternak ruminan kecil, seramai 200 orang penternak menerima pakej bantuan bernilai RM369 yang melibatkan nilai peruntukan sebanyak RM73,800.
“Secara total, peruntukan yang terlibat bagi bantuan kepada penternak ruminan kecil dan ruminan besar adalah sebanyak RM161,130,” kata ADUN Pantai Jerejak itu lagi.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan bahawa dalam mendepani pembangunan pesat di kawasan perairan negeri ini terutamanya di bahagian selatan Pulau Pinang dengan pembangunan Pulau Silikon dan pembinaan transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara di kawasan Batu Maung, Kerajaan Negeri bersama-sama Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) sedang berusaha membangunkan sebuah Bandar Nelayan Pulau Pinang yang akan menjalankan aktiviti agropelancongan di Jeti Nelayan Batu Maung.
“Ia termasuk cadangan pembangunan bercampur dengan pembinaan hotel nelayan bertaraf empat bintang serta pusat komersial yang mempromosikan produk-produk nelayan.
“Bandar nelayan ini penting dalam menjana pendapatan tambahan kepada golongan nelayan dengan mengambil ruang dalam kepadatan kemajuan di kawasan tersebut.
“Jika projek ini berjaya, ia akan menjadikan nelayan di negeri Pulau Pinang sebagai nelayan pertama yang mempunyai Bandar Nelayan yang meliputi hotel dan pusat komersial sendiri.
‘Kerajaan Negeri akan mengusahakan dana peruntukan bagi projek ini di bawah inisiatif Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI