Beri sokongan, jayakan Fasa 2 program imunisasi

Admin

GEORGE TOWN – Rakyat Pulau Pinang diseru supaya memberikan sokongan untuk menjayakan Fasa 2, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang yang bermula hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkara itu adalah penting untuk memastikan sasaran 70 peratus atau 1.34 juta penduduk yang layak di negeri ini divaksinasi sekali gus mencapai imuniti kelompok.

Salah seorang warga emas sedang menerima suntikan vaksin dekat PPV Kompleks Masyarakat Penyayang di sini sebentar tadi.

“Setelah hampir dua bulan kerja-kerja persiapan dilakukan, akhirnya hari ini kita dapat menyambut rakyat Malaysia daripada golongan warga emas dan individu mempunyai komorbiditi untuk menerima vaksin bagi Fasa 2.

“Justeru, adalah diharapkan agar dengan berjalannya Fasa 2 (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan), ia akan dapat meningkatkan lagi kesesadaran awam terhadap program ini,” katanya pada sidang selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dekat Kompleks Masyarakat Penyayang di sini sebentar tadi.

Turut serta, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Asmayani Khalib.

Chow Kon Yeow semasa mengadakan lawatan ke PPV Kompleks Masyarakat Penyayang sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa jumlah pendaftar penerima vaksin di negeri ini masih lagi mencatatkan kemajuan yang perlahan iaitu sekitar 44.5 peratus sehingga semalam.

“Ini menunjukkan bahawa pendaftaran penerima vaksin masih perlahan dan kita berharap selepas Fasa 2 dilancarkan hari ini, jumlah (pendaftar) akan meningkat dengan lebih ramai lagi individu akan menerima vaksin pada peringkat ini.

“Selain itu, kita juga menyeru agar mereka yang telah mendaftar supaya menyemak aplikasi MySejahtera untuk mengetahui tarikh temujanji serta mengesahkan kehadiran kerana hampir 30 peratus pendaftar didapati tidak membuat semakan selepas mendaftar.

Antara kemudahan yang disediakan di PPV.

“Sekiranya perkara-perkara wajib tidak dilakukan maka ia akan menjejaskan perjalanan program ini,” serunya.

Menyetuh mengenai aspek logistik seperti di pusat-pusat warga emas sebagaimana dibangkitkan pelbagai pihak, beliau menjelaskan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah bersiap-sedia untuk menangani perkara itu.

Dalam pada itu, Asmayani memberitahu bahawa seramai 2,024 individu akan menerima vaksin pada hari ini melibatkan lima PPV dekat kelima-lima daerah di negeri ini.

“Lima PPV terlibat adalah Seberang Perai Arena, Dewan Milenium Kepala Batas, Dewan Serbaguna Jawi, Kompleks Masyarakat Penyayang serta Kompleks Sukan Balik Pulau.

“Setakat ini, kita ada lima PPV tetapi sekiranya perlu kita akan tambah lagi pada masa akan datang.

“Paling penting, saya ingin memohon agar semua penduduk Pulau Pinang supaya tampil ke hadapan dan mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk meningkatkan populasi yang mendapat liputan vaksinasi,” ujarnya.

Difahamkan, sehingga 18 April 2021 seramai 622,839 individu telah mendaftar sebagai penerima vaksin di Pulau Pinang.

Manakala seramai 41,603 individu telah menerima dos pertama dan 31,593 individu telah melengkapkan dua dos sehingga 17 April lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD