Berkonvoi sampaikan mesej kesedaran kepada umum

Admin

TINGKAT KESEDARAN… Kempen Katakan Tidak Kepada Plastik Sekali Guna dan Penyedut Minuman yang dilancarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terus giat dilaksanakan menerusi pelbagai medium pendedahan kepada umum.

Terbaharu, kehadiran Konvoi Bermotosikal Mesra Alam pada 28 September lalu turut membantu mempromosikan kepentingan kesedaran kempen berkaitan di sekitar Pasar Chowrasta, Pasar Farlim dan seterusnya menuju ke Pasar Bayan Baru.

Pelepasan para peserta konvoi dilakukan oleh Ahli Majlis, Connie Tan Hooi Peng dan Gerard Mak Mun Keong dekat Pasar Chowrasta di sini.

Lebih bermakna, apabila Ahli Majlis MBPP iaitu Rohaizat Hamid dan Azahari Aris dan beberapa kakitangan Majlis turut menyertai konvoi berkenaan sambil mengedarkan beg kitar semula, pelekat kempen dan poster kepada orang ramai yang mengunjungi pasar-pasar berkenaan tempoh hari.

Sejurus melepaskan peserta konvoi, Hooi Peng dan Mun Keong turut sama menyantuni pengunjung dan penjaja di sekitar Pasar Chowrasta sambal mengedarkan risalah, pelekat dan beg kitar semula.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MBPP