Bersama-sama semarakkan semangat muhibah dan kebersamaan

KETUA Menteri turut menyampaikan sumbangan khas kepada penerima terpilih dalam kalangan bukan Islam B40, sebelum majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Tasek Gelugor tadi.

SUNGAI DUA – Seramai 30 wakil keluarga beragama Islam dan bukan Islam daripada kelompok berpendapatan isi rumah 40 peratus paling rendah (B40) sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua masing-masing menerima RM150 ‘sumbangan khas’ Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Serentak itu, mereka turut diraikan dalam majlis berbuka puasa yang dilangsungkan di Masjid Jamek Tasek Gelugor dekat sini pada 25 April 2022.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa pentadbirannya berharap semua institusi berkaitan di Pulau Pinang bersama-sama Kerajaan Negeri hari ini dalam usaha menyemarakkan lagi semangat muhibah dan kebersamaan tanpa mengira warna kulit atau status sosial.

“Majlis Iftar (Bersama-sama Ketua Menteri) ini adalah suatu kesempatan untuk kita saling bersama,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

 

SEORANG penerima terpilih dalam kalangan B40 yang beragama Islam turut mendapat sumbangan khas Ketua Menteri.
BEBERAPA individu bukan Islam turut menjadi tetamu Masjlis Iftar Bersama-sama Ketua Menteri di Masjid Jamek Tasek Gelugor tadi.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Tasek Gelugor kerana sudi saling bekerjasama dengan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri bagi menganjurkan majlis berbuka puasa di sini.

Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid, Ketua Balai Polis Tasek Gelugor, Asisten Superintendan Mohamad Azizi Md. Dalis, Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dr. Roslan Ahmad merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS