Bersama WCC perjuang hak wanita & kanak-kanak

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yakin bahawa penubuhan Pusat Kesedaran Wanita atau Woman’s Centre for Change (WCC) bukan sahaja membentuk masyarakat bebas keganasan domestic tetapi juga mampu melahirkan generasi wanita dan kanak-kanak yang mempunyai semangat juang luar biasa.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Baru WCC di sini baru-baru ini.

Katanya, beliau kagum dengan kesungguhan WCC selama 27 tahun penubuhannya dalam memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak di Malaysia.

“Tanpa kesungguhan dan inisiatif mereka pasti tidak akan wujud sebuah organisasi lantang membantu wanita dan kanak-kanak yang tertindas,” ucapnya.

Tambahnya, saban hari, paparan berita di dada akhbar mengenai kes-kes seperti keganasan domestik, rogol, penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan kes-kes kematian akibat penderaan adalah amat meruncing dan membimbangkan.

“Walaupun adanya WCC, masyarakat setempat juga harus memainkan peranan bagi membendung kes-kes penderaan dan seumpamanya.

“Di sinilah perlunya perkongsian berkesan antara kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam dalam melaksanakan dasar-dasar yang lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menyeru rakyat Pulau Pinang untuk memberi kerjasama kepada WCC dalam menjadikannya badan advokasi yang berjuang dalam memastikan masyarakat umum bebas keganasan.

Sejak 2009, di bawah Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti geran tahunan berjumlah RM150,000 disediakan bagi menguruskan WCC di Seberang Perai.

Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) juga giat melaksanakan program-program pendidikan dan kesedaran bagi membuka ruang kepada mangsa-mangsa dera serta rogol tampil memberi keterangan. Sehingga hari ini, lebih daripada 1,000 aduan diterima setiap tahun melalui penyediaan kaunseling secara atas talian WCC.

BARISAN jemputan khas yang hadir pada Majlis Perasmian Bangunan Baru WCC di sini baru-baru ini.
BARISAN jemputan khas yang hadir pada Majlis Perasmian Bangunan Baru WCC di sini baru-baru ini.