Bersenam kurang tekanan kerja – Exco

GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng menyeru semua penjawat awam di negeri ini supaya mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

Chong Eng yang ditemui pada Majlis Pelancaran Sesi Jom Zumba@Komtar baru-baru ini memberitahu bahawa Kerajaan Negeri amat menggalakkan rakyatnya bersenam.

“Begitu juga penjawat awam yang bekerja seharian, melalui senaman, segala tekanan kerja dapat dikurangkan.

“Sihat bukan bererti kita bebas penyakit, tetapi kita mampu menangani tekanan, dan senaman merupakan salah satu cara menghilangkannya,” katanya yang turut meluangkan masa selama 30 minit untuk berzumba bersama-sama 50 penjawat awam di ruang Konkos Tingkat 3, Komtar di sini.

Menurut Chong Eng, ruangan di Tingkat 3 disediakan secara percuma oleh pihak pengurusan Komtar, PDC Setia Urus Sdn. Bhd. (PDCSU).

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) dengan kerjasama Zin Mary (tenaga pengajar zumba) mengambil inisiatif mengadakan sesi zumba selama satu jam pada setiap hari Selasa bermula 5.30 petang.

“Cuma hari ini, kurang penyertaan golongan lelaki, saya berharap minggu hadapan lebih ramai penjawat awam lelaki menyertai zumba ini,” ujar beliau. Sebanyak RM5 dikenakan bagi setiap sesi.

Ayuh, jom kita berzumba..!