BFF, 83.78% adalah acara tempatan

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Sebanyak 31 daripada keseluruhan 37 acara yang dipersembahkan dalam Edisi Kedua Festival Pinggiran Butterworth (BFF) pada 13 dan 14 Ogos 2016 di Jalan Jeti Lama adalah sarat dengan elemen kebudayaan, kesenian, warisan dan aktiviti kemasyarakatan tempatan, kata Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif pada sidang media di sini baru-baru ini.

“Enam acara antarabangsa sahaja akan dipersembahkan dalam festival jalanan tersebut.

“Daripada 37 acara keseluruhannya, 83.78 peratus adalah acara tempatan, dan (baki) 16.22 peratus adalah acara antarabangsa. “Saya begitu terkejut dengan kenyataan NGO ini, yang dilaporkan dalam beberapa akhbar,” jelasnya baru-baru ini.

Maimumah berkata demikian sebagai menjawab pertikaian Presiden Persatuan Pelancongan dan Warisan Melayu Pulau Pinang (SAHABAT), Syed Kamalrul Suffian Kadiron Syed Mustafa dan sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa BFF tidak mencerminkan elemen tempatan.

Menurut Maimunah, hasrat membawa komponen antarabangsa dan elemen tempatan dalam festival tersebut antara lain supaya warganegara dan pelancong asing berpeluang untuk menikmati variasi acara persembahan secara percuma.

“Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) selaku penganjur BFF 2016 sebelum ini pernah menghubungi Syed Kamalrul Suffian Kadiron sendiri untuk menghantar kertas cadangan bagi menyertai festival tersebut.

“Namun, sehingga kini, pihak beliau (SAHABAT) gagal untuk menghantar sebarang kertas cadangan,” jelasnya.

Pengarah Festival BFF 2016, Joe Sidek dan Pengarah Program Butterworth Baharu langsung di bawah ThinkCity, R. Murali masing-masing turut melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan tanpa asas NGO berkenaan.

“Kenapa tidak beliau datang berjumpa saya dan hantar kertas cadangan kerana saya memang nak bantu. “Saya juga adalah Melayu, buat apa saya tidak memberi sokongan pada elemen seni Melayu.

“Kita kan rakyat Malaysia…saya tidak mahu melihat berapa peratus elemen Melayu, elemen Cina, elemen bangsabangsa lain dan elemen antarabangsa, kerana saya nak menjadikan BFF 2016 lebih daripada itu untuk semua pengunjung,” ujar Joe Sidek.

Tidak termasuk tajaan pihak swasta, difahamkan, BFF 2016 menerima RM400,000 peruntukan MPSP dan lebih RM100,000 daripada ThinkCity.

Acara Muzikal Hamid Khan, Teater Jual Ubat Dari Stesen Ke Stesen, Persembahan Kompang Maktab Wan Jah, Buskers Butterworth dan Persembahan Boria Klasik Mutiara merupakan antara yang menarik serta sarat dengan elemen tempatan dalam festival jalanan kali ini.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);