Hantar proposal BFF awal, respons YDP

BAGAN DALAM – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, para pengkritik Festival Pinggiran Butterworth (BFF) dialu-alukan menghantar kertas cadangan lebih awal untuk penganjuran festival jalanan seterusnya pada tahun hadapan.

Beliau turut menjemput semua pihak, termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelancong dan warisan ke edisi kedua BFF 2016 di Jalan Jeti Lama pada 13 dan 14 Ogos 2016.

“Mereka boleh kemukakan proposal, selalunya apabila habis sahaja festival pada tahun ini, perancangan dan persiapan untuk BFF seterusnya pada tahun depan (2017) akan mula dibuat,” jelasnya kepada pemberita pada Majlis Gotong-Royong MPSP dan Komuniti Sempena Persiapan BFF 2016 di sini baru-baru ini.

Kira-kira 100 peserta terlibat dengan program gotong-royong di 13 lokaliti di tapak BFF seluas 12,000 kaki persegi, yang meliputi Jalan Jeti Lama, Jalan Bagan Luar, Lorong Tokong dan Lorong Pasar.

Turut serta, wakil penganjur, R. Murali, yang juga Pengarah Program Butterworth Baharu, iaitu projek rejuvinasi perbandaran warisan, kesenian dan kebudayaan tempatan di sini.

Mengulas lanjut, Maimunah menjelaskan bahawa beberapa NGO ketika berbincang dengan Murali dan Pengarah BFF 2016, Joe Sidek sebelum ini pernah mencadangkan idea ‘Pelantar Melayu’ sebagai tema festival jalanan percuma pada kali ini.

Namun, mereka tidak menyerahkan kertas cadangan berwajib dalam tempoh waktu yang ditetapkan, sehinggalah ‘A Street Perfomance:Accessible To Public‘ diangkat sebagai tema BFF 2016.

“Kita tidak boleh menunggu terlalu lama, kerana kita juga perlu memberi tumpuan pada kerja-kerja mempromosi festival ini lebih awal,” jelas beliau.