Remaja tenaga penggerak PDPI, nadi KN perangi ancaman dadah

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, golongan remaja sendiri akan menggerakkan program terbaru Kerajaan Negeri, Penang Drug Prevention Initiative atau Inisiatif Pencegahan Dadah Pulau Pinang (PDPI) demi menjayakan pencegahan di punca (prevention at source) musuh negara itu.

“Kita (Kerajaan Negeri) perlu meremajakan tenaga penggerak kita…kalau kita (Kerajaan Negeri) nak yakinkan remaja supaya tidak terjebak dengan najis dadah, pendekatan baru mesti dijalankan.

“Penubuhan PDPI ini diharap menggunakan cara produktif, cara inovatif, cara mudah dan ‘cara remaja’.

“Seperti Dasar Pengasingan Sisa Di Punca untuk mengurangkan sampah sarap… selagi masalah dadah tak diatasi, tidak mungkin jenayah boleh dihapuskan, itulah sebabnya kita nak pergi kepada prevention at source (cegah di punca),” katanya pada Majlis Pelancaran PDPI di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) serta Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) turut sertai majlis tersebut. Hadir sama, Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri, Ghazali Derahman serta wakil kepada Ketua Polis Negeri.

Menurut Guan Eng, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy yang juga anggota Majlis Profesor Negara (MPN) akan mengetuai jawatankuasa itu.

“Rakyat Malaysia berada dalam 10 negara di dunia yang rakyatnya menggunakan media sosial setiap hari, dan PDPI akan menggunakan media sosial dekati remaja,” jelasnya.

Guan Eng dalam pada itu berharap jawatankuasa yang diketuai Sundramoorthy dapat saling bekerjasama dengan semua agensi Kerajaan Pusat berwajib, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk misi bersama tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas mengenai statistik AADK yang mendedahkan Pulau Pinang mencatat bilangan penagih dadah paling tinggi dalam tempoh 2013 hingga 2015 berbanding negerinegeri lain, iaitu berjumlah 18,889 orang.

Mengulas statistik itu, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah lebih progresif, sungguhpun Pulau Pinang ketika ini dikenali sebagai ‘negeri paling selamat’ di tanah air ini.

“Jumlah ini merujuk kepada mereka yang dikategorikan sebagai penagih dadah sahaja dan tidak termasuk mereka yang ditahan di bawah seksyen lain, terutama yang menggunakan dadah jenis aphetamine dan ketamine di tempat-tempat hiburan.

“Kemungkinan angka ini lebih tinggi dan mungkin ada negeri lain yang mencatatkan jumlah penagih berdaftar paling banyak, jika kita mengambil kira jumlah mereka yang ditangkap menggunakan dadah dan belum dikategorikan sebagai penagih dadah lagi,” jelasnya.

Tambah Guan Eng, PDPI perlu bekerja keras untuk menghalang peningkatan bilangan penagih dadah, menyediakan kaedah pemulihan yang lebih berkesan kepada golongan terbabit, serta yang paling penting adalah solusi ‘cegah di punca’ berkesan.

“Perkhidmatan ditawarkan PDPI tidak akan melibatkan sistem keadilan jenayah. “Seseorang yang datang untuk mendapatkan bantuan daripada PDPI tidak akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah,” ujar beliau.

Sebarang maklumat, layari laman sesawang, www.pdpi.my/.