Biar lambat asal selamat – KM

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri baru-baru ini menyampaikan bantuan ehsan RM5,000 kepada balu-balu Allahyarham Tajudin Zainal Abidin, 45, yang ditemui maut dalam tragedi runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang pada 6 Jun lalu di sini.

Balu Allahyarham, Shara Ismail, 45 dan Shariffah Ramli, 40, walau bagaimanapun, masing-masing masih terkejut dengan berita pemergian suami tercinta.

Buletin Mutiara sempat menemubual adik kepada Allahyarham, Khairudin Zainal Abidin, 44 dan Laldin Zainal Abidin, 39, yang hadir menemani balu Allahyarham di Pejabat Ketua Menteri baru-baru ini.

Hadir sama, keempat-empat cahaya mata perempuan Allahyarham, Nur Izzaty Syahirah, 12, Nur Izzaty Syafiqah, 8, Nur Aina Syazwani, 11 dan Nur Ain Maisara, 7.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan rasa simpati beliau dan berjanji akan membantu mangsa untuk mendapat nasihat guaman sekiranya perlu.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar arahan memberhentikan kerja – kerja pembinaan serta – merta yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) harus dikekalkan.

“Arahan itu perlu dikekalkan sehingga MPPP dan Kerajaan Negeri yakin bahawa keadaan jambatan tersebut selamat.

“ Projek ini akan mengalami kelewatan, tetapi biar lambat asal selamat,” tegas beliau.