Biasiswa PFF; inisiatif Kerajaan Negeri bantu penerima gapai cita-cita

Gambar fail Buletin Mutiara : Ketua Menteri ketika menyempurnakan penyampaian biasiswa PFF kepada pelajar layak pada 18 Disember 2020.

SERAMAI 585 pelajar menerima manfaat hasil inisiatif biasiswa pendidikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu Penang Future Foundation (PFF) sejak dilancarkan pada 2015.

Tahun lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyempurnakan penyampaian biasiswa kepada 74 pelajar cemerlang yang layak dengan peruntukan RM3.4 juta.

Mereka terdiri daripada latar belakang pendidikan berbeza iaitu sijil matrikulasi seramai 23 pelajar layak, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, STPM (20), diploma (20), program asasi (10) dan A-Level (1).

Muhammad Naqib Tasdiq Ahmad Adli.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, MUHAMMAD NAQIB TASDIQ AHMAD ADLI, 20, memberitahu bahawa biasisiwa PFF yang diterima membantu meringankan beban kewangan keluarganya untuk menampung yuran pengajian di universiti.

Menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang kejuruteraan mekanikal (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal), beliau berharap agar dapat menyumbang tenaga kepada pembangunan industri lebih pesat di Batu Kawan apabila menamatkan pengajian, kelak.

“Biasiswa ini sangat membantu dalam meringankan beban saya dan keluarga khususnya dalam tempoh penularan pandemik COVID-19 ini,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera mekanikal.

Seorang lagi penerima, OOI KEAN HONG, 21, pula meluahkan rasa syukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima biasiswa PFF untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengkomputeran dekat INTI International College Penang.

“Saya mahu menyumbangkan kemahiran dan pengetahuan yang ada bagi membantu Kerajaan Negeri merealisasikan visi untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri tanpa tunai pada masa akan datang,” katanya yang dijangka menamatkan pengajian pada tahun 2023.

S. Hanu Shree menerima dokumen berkaitan daripada Ketua Menteri baru-baru ini.

Dalam pada itu, S. HANU SHREE, 22, berkata bahawa biasiswa PFF meluaskan peluangnya untuk menjadi seorang penganalisis data selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer tahun depan.

Katanya, ‘Big Data’ memainkan peranan yang penting dalam mengembangkan perniagaan terutamanya dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kini.

“Saya mahu menyumbang semula untuk negeri Pulau Pinang selepas menamatkan pengajian nanti. Saya berharap agar dapat memaksimumkan potensi melalui penggunaan data yang ada serta mewujudkan persekitaran lebih cekap,” jelasnya yang memilih pengkhususan Analisis Data dekat Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU).

Sementara itu, VANESSA KOAY WEI LI, 21, ketika dihubungi berkata bahawa impian untuk mendapatkan biasiswa PFF akhirnya menjadi kenyataan apabila dia dipilih sebagai salah seorang penerima di bawah kategori Mutiara Scholar.

“Impian saya akhirnya menjadi kenyataan. Selepas menerima berita baik ini, saya tahu segala usaha yang saya lakukan selama ini tidak sia-sia.

Vannesa Koay Wei Li antara penerima yang layak.

“Saya sangat bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima dan berharap agar saya dapat mengembangkan lagi pembangunan industri berkaitan teknologi maklumat di negeri ini,” ujarnya yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Pembangunan Perisian) di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

Dipilih dalam kategori yang sama, A. JOSHUA, 20, pula berharap agar biasiswa PFF dapat menjadi pemangkin kepada cita-citanya untuk mewujudkan kemudahan penyelidikan berkaitan astronomi dan astrofizik di Pulau Pinang pada masa akan datang.

“Ramai orang mempunyai persepsi bahawa mereka yang lulus dalam bidang fizik sukar untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian kerana permintaan tenaga kerja dalam industri ini sangat rendah.

“Tetapi saya mahu buktikan bahawa persepsi itu tidak tepat dengan bekerja dengan lebih gigih lagi,” katanya yang dijangka menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Fizik di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) pada 2023.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD